Lapan persatuan bukan Islam di Kelantan terima sumbangan kerajaan negeri
Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 13 Mei - Sebanyak lapan persatuan bukan Islam menerima sumbangan daripada Kerajaan Negeri Kelantan yang disampaikan Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Mohamad di Bilik Mesyuarat Exco, Mabna Kompleks Kota Darulnaim di sini, hari ini.
Badan bukan kerajaan (NGO) terbabit ialah Persatuan Ching Kang Kelantan, Persatuan Yitlan Gua Musang, Persatuan Siam Kelantan, Gabungan Pertubuhan Tiong Hwa Kelantan, Tin Hing Kong Building Fund, Persatuan Peranakan Cina Kelantan, Persatuan Hainan Kelantan dan Pertubuhan Penganut Sri Maha Kaliaman Ayalam.
Semua persatuan berkenaan menerima sumbangan antara RM3,000 hingga RM10,000.
Sebahagian dari lapan persatuan bukan Islam di Kelantan yang telah menerima sumbangan kerajaan negeri
YB Zamakhshari berkata, sumbangan itu adalah sebahagian daripada peruntukan kerajaan negeri di bawah perpaduan masyarakat bagi membantu pelbagai persatuan selain Melayu.
Menurutnya, bantuan berkenaan bertujuan menyediakan kemudahan dan keceriaan di rumah ibadah seperti pagar, bilik air serta kerja penyelenggaraan pejabat persatuan, pelaksanaan program pemimpin bersama rakyat dan sebagainya.
“Sumbangan ini sebagai tanda kebersamaan kerajaan negeri dalam isu yang melibatkan pelbagai kaum.
Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Mohamad
“Ia membuktikan kerajaan negeri Kelantan tidak pernah menindas kaum lain serta tidak menghalang mereka untuk menjalankan aktiviti seperti yang didakwa pihak tertentu,” jelasnya dalam majlis tersebut.
Tambahnya, masyarakat bukan Islam di Kelantan bukan sahaja bebas menjalankan aktiviti yang tidak menyalahi undang-undang, malah turut menerima bantuan daripada kerajaan negeri.
“Segala tohmahan yang mengatakan masyarakat bukan Islam di Kelantan ditindas adalah tidak benar.
“Saya juga meminta kerjasama semua pihak untuk menyebarluaskan kepada rakan persatuan di negeri lain bahawa kerajaan negeri Kelantan tidak menindas masyarakat bukan Islam, bahkan memberi bantuan demi mengekalkan keamanan dan kebersamaan di Kelantan,” katanya.
Menurutnya lagi, kerajaan negeri mahu menjadikan Kelantan sebagai model perpaduan yang menunjukkan hubungan harmoni antara kaum.
“Semoga selepas ini hubungan antara kerajaan dengan pelbagai komuniti akan menjadi lebih rapat dan saling memahami antara satu sama lain serta dapat terus bekerjasama untuk memajukan Kelantan,” ujarnya.
















