Accessibility Tools

Skip to main content

Awesome Festival Kota Bharu dijangka rancakkan ekonomi belia, usahawan tempatan

Oleh: Irham Hilmi Hashim
Kredit foto: Media YB Bunut Payong

KOTA BHARU, 13 Mei — Penganjuran Awesome Festival Kota Bharu dijangka menjadi pemangkin kepada kerancakan pertumbuhan ekonomi belia dan usahawan tempatan menerusi penglibatan sektor makanan, produk kreatif, pelancongan serta perusahaan kecil dan sederhana di negeri ini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bunut Payong YB Shaari Mat Yaman berkata, festival yang dijadual berlangsung pada 2 hingga 5 Jun depan di Lembah Sireh itu berpotensi membuka peluang pendapatan baharu kepada golongan muda selain merancakkan aktiviti ekonomi setempat.

Menurutnya, Pusat Khidmat DUN (PKD) Bunut Payong sentiasa terbuka untuk bekerjasama dalam menjayakan program yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat dan pembangunan ekonomi komuniti.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media susulan kunjungan Pengurus Awesome Festival Lokman Hakim Jazlan ke pejabat PKD Bunut Payong pada Selasa.

Katanya, pertemuan tersebut turut mencapai persetujuan kerjasama strategik bagi menjayakan penganjuran Awesome Festival Kota Bharu.

“Kerajaan negeri sentiasa menggalakkan golongan muda menceburi bidang pengurusan acara dan keusahawanan kerana ia mempunyai potensi besar dalam menjana pendapatan serta membuka peluang pekerjaan.

“PKD Bunut Payong juga bersedia berkongsi pengalaman dan maklumat berkaitan pengurusan perniagaan kepada anak muda yang berminat dalam bidang tersebut,” jelasnya.

Sementara itu, Lokman memaklumkan bahawa Awesome Festival merupakan siri program jelajah yang memberi fokus kepada pembangunan ekonomi melalui sektor makanan, produk tempatan dan industri kreatif.

Menurutnya, festival tersebut menyediakan platform promosi dan jualan kepada usahawan tempatanserta berupaya memperluas capaian pasaran serta memperkukuh jenama produk tempatan.

“Ia juga diharapkan dapat membantu merancakkan industri pelancongan negeri melalui penglibatan penggiat makanan, kraftangan, seni kreatif dan kebudayaan,” katanya.

Tambahnya, Awesome Festival Kota Bharu menyediakan 60 tapak jualan dan menyasarkan penyertaan 60 usahawan tempatan dengan anggaran kehadiran sebanyak 15,000 pengunjung sepanjang empat hari penganjuran.

Pautan berjaya disalin!