Accessibility Tools

Skip to main content

MB Kelantan, Exco Pelancongan perincikan laluan KB-Jakarta dengan AirAsia

Oleh: Irham Hilmi Hashim
Kredit foto: Media Exco Pelancongan

KUALA LUMPUR, 13 Mei — Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud bersama Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan YB Datuk Kamarudin Md Nor mengadakan pertemuan strategik dengan pihak AirAsia bagi memperincikan persiapan akhir pelancaran penerbangan terus Kelantan–Jakarta sempena siri Promosi Pelancongan Negeri Kelantan ke Jakarta.

Pertemuan tersebut berlangsung di Lounge AirAsia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

Menurut Dato' Mohd Nassuruddin, diskusi itu adalah langkah penting kerajaan negeri dalam memperkukuh hubungan antarabangsa Kelantan-Indonesia, sekali gus membuka laluan baharu kepada pertumbuhan sektor pelancongan, perdagangan dan pelaburan negeri.

Sementara itu, Datuk Kamarudin pula menjelaskan, delegasi kerajaan negeri yang diketuai Menteri Besar Kelantan telah mengadakan perbincangan bersama pengurusan AirAsia bagi menyelaras persediaan akhir sebelum laluan penerbangan tersebut dilancarkan.

Menurutnya, pertemuan itu turut disertai Timbalan Pengerusi Pelancongan, YB Zameri Mat Nawang dan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Dato’ Ab. Pattah Hasbullah.

“Perbincangan tersebut memfokuskan kepada persiapan akhir pelancaran penerbangan terus dari Kelantan ke Jakarta yang dijangka menjadi pemangkin kepada perkembangan sektor pelancongan dan ekonomi negeri.

“Inisiatif ini bukan sahaja memudahkan urusan perjalanan, malah membuka lebih banyak peluang kerjasama serta memperkukuh hubungan antara Kelantan dan Jakarta dalam pelbagai sektor berkaitan,” katanya menerusi media sosial, hari ini.

Beliau optimis, usaha berterusan kerajaan negeri dalam memperkasa sektor pelancongan diterjemahkan melalui kerjasama strategik bersama pelbagai pihak termasuk syarikat penerbangan bagi meningkatkan aksesibiliti pelancong ke negeri ini.

Tambahnya, penerbangan terus tersebut diyakini mampu memperluas promosi Kelantan sebagai destinasi pelancongan berteraskan budaya, warisan dan pelancongan Islam di peringkat antarabangsa.

Beliau turut berharap segala urusan berkaitan pelaksanaan laluan penerbangan itu dipermudahkan demi memperkukuh kedudukan Kelantan sebagai destinasi pelancongan utama di rantau ini.

“Inisiatif ini diharap menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negeri serta memperluas jaringan hubungan strategik antara Kelantan dan Indonesia,” jelasnya.

Pautan berjaya disalin!