Accessibility Tools

Skip to main content

Pembinaan asrama baharu MMP capai 80 peratus

Oleh: Irham Hilmi Hashim
Foto: Media TMB

KOTA BHARU, 13 Mei — Projek pembinaan blok asrama perempuan baharu di Maahad Muhammadi Perempuan (MMP) kini mencapai kemajuan fizikal sebanyak 80 peratus, sekali gus mencerminkan perkembangan memberangsangkan dan berjalan mengikut jadual ditetapkan.

Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Mohamed Fadzli Dato’ Hassan berkata, perkembangan tersebut dimaklumkan menerusi sesi taklimat serta hasil tinjauan beliau ke tapak projek, semalam.

Menurutnya, pembinaan asrama baharu itu dirancang secara menyeluruh dengan memberi penekanan terhadap aspek kapasiti, keselesaan dan keselamatan penghuni bagi memastikan kebajikan pelajar terus dipelihara.

Katanya, reka bentuk kemudahan tersebut turut mengambil kira susun atur ruang yang lebih sistematik, penyediaan utiliti yang lengkap, sistem pengudaraan lebih baik serta ciri keselamatan yang dipertingkat.

“Usaha ini penting bagi mewujudkan suasana penginapan yang lebih selesa, selamat dan kondusif untuk para pelajar sepanjang berada di asrama,” jelasnya.

Menurutnya lagi, projek pembangunan itu memberi manfaat langsung kepada pelajar, bahkan menjadi sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan negeri dalam memperkukuh infrastruktur pendidikan Islam di Kelantan.

Dalam masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada semua penyumbang yang memainkan peranan dalam menjayakan pembangunan tersebut.

“Semoga segala amal kebajikan ini diterima sebagai amal jariah dan diberkati Allah SWT,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Yayasan Islam Kelantan (YIK), pengurusan Maahad Muhammadi Perempuan, kontraktor, perunding serta agensi teknikal berkaitan yang sentiasa memantau pelaksanaan projek agar berjalan lancar dan memenuhi piawaian ditetapkan.

Tambahnya, kerjasama erat semua pihak amat penting bagi memastikan projek berkenaan dapat disiapkan mengikut tempoh dirancang demi manfaat generasi pelajar pada masa hadapan.

Untuk rekod, projek pembangunan semula blok asrama MMP di Jalan Merbau dilaksanakan bagi menyediakan kemudahan penginapan yang lebih kondusif. Mesyuarat pembangunan semula blok asrama baharu telah diadakan pada 29 Jun 2025 bagi menaik taraf bangunan kayu sedia ada, manakala kerajaan negeri sebelum ini memperkenalkan inisiatif awal menerusi projek rintis Baitus Solehah pada Januari 2023 dengan peruntukan RM110,000 untuk asrama pelajar perempuan.

Pautan berjaya disalin!