Accessibility Tools

Skip to main content

Kelantan perkasa latihan pengasuh demi keselamatan dan kualiti taska

Oleh: Syamimi Manah
Foto: Media Dato' Rohani

KOTA BHARU, 13 Mei – Kerajaan Negeri Kelantan memberi penekanan berterusan terhadap pembangunan latihan pengasuh taska sebagai sebahagian usaha memperkukuh sistem penjagaan awal kanak-kanak yang lebih selamat, berkualiti dan tersusun di negeri ini.

Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita YB Dato’ Rohani Ibrahim berkata, usaha tersebut penting bagi memastikan setiap pengasuh yang ditempatkan di pusat jagaan memiliki ilmu, kemahiran serta nilai yang betul dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Graduasi Kursus Asas PERMATA (KAP) Kali Ke-2 2026 melibatkan 38 pelatih yang berlangsung di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Sabtu lalu.

Beliau menegaskan bahawa aspek keselamatan kanak-kanak perlu diberi perhatian serius memandangkan perkembangan semasa menyaksikan ramai ibu bapa terpaksa menghantar anak ke pusat jagaan pada usia yang masih sangat kecil akibat tuntutan kerja dan ekonomi.

“Isu keselamatan kanak-kanak menjadi isu utama yang perlu kita usahakan secara bersama. Kita mahu anak-anak jagaan di premis dan rumah dijaga dengan baik dan selamat,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata tajaan Kerajaan negeri terhadap program latihan tersebut mencerminkan komitmen berterusan dalam memastikan  mendapat pengiktirafan rasmi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Tajaan ini mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan taska mendapat pengiktirafan rasmi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat.

"Usaha ini penting bagi menjamin kualiti asuhan dan pendidikan kanak-kanak, memenuhi keperluan perkembangan menyeluruh, serta memastikan aspek keselamatan dan kesejahteraan sentiasa terpelihara,” jelasnya.

Sehubungan itu, Dato' Rohani Ibrahim merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program latihan berkenaan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat, para jurulatih Kursus Asas PERMATA, pengusaha TASKA serta pihak perunding dari Excellent Plan Consultancy and Management (Z) Sdn. Bhd.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri telah melaksanakan Dasar Keluarga Mawaddah Negeri Kelantan (2010) serta Dasar Kanak-Kanak Fitrah Negeri Kelantan (2018) sebagai asas memperkukuh institusi keluarga dan pembangunan kanak-kanak.

Tambahnya, Buku Panduan Keluarga Mawaddah turut diperkenalkan sebagai rujukan kepada masyarakat dalam usaha membina keluarga yang harmoni dan sejahtera.

“Ini adalah pelaburan masa depan generasi kita. Jika kita uruskan dengan baik hari ini, Insya Allah akan lahir generasi yang lebih berkualiti pada masa akan datang,” jelasnya.

Beliau turut mengingatkan para pengasuh bahawa tugas yang dipikul merupakan satu amanah besar yang memerlukan keikhlasan, kesabaran serta komitmen tinggi dalam mendidik dan menjaga anak-anak kecil.

"Tugas mengasuh ini adalah amanah besar untuk generasi kita masa depan. Betul tindakan kita hari ini, baiklah masa depan kita akan datang. Dengan pengiktirafan ini, jadilah pengasuh yang terbaik kerana Allah. Saya doakan semua akan berjaya ke peringkat lebih baik dengan minat dan kemahiran yang sentiasa diperbaiki " ujarnya.

Pautan berjaya disalin!