Pengurusan sisa pepejal berteknologi antara fokus baharu di Gua Musang
Oleh: Syamimi Manah
KOTA DARULNAIM, 18 Mei – Pendekatan pengurusan sisa pepejal berasaskan teknologi kini menjadi antara fokus baharu yang sedang dipertimbangkan di Gua Musang bagi meningkatkan kecekapan operasi pelupusan sampah serta menjamin kelestarian alam sekitar.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah berkata, Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) kini sedang menilai beberapa cadangan menaik taraf sistem pengurusan di Tapak Pelupusan Sampah Kampung Kundur dengan kerjasama Kelantan Utiliti Mubarakan (KUM) dan pihak swasta.
Menurutnya, penggunaan teknologi moden dalam pengurusan sisa pepejal penting bagi memastikan operasi pelupusan dapat dilaksanakan secara lebih sistematik dan efisien selaras dengan peningkatan jumlah sisa pepejal di jajahan berkenaan.
“Anggaran sisa pepejal yang dihasilkan di seluruh Jajahan Gua Musang mencecah sekitar 100 tan sehari bersamaan antara 2,100 hingga 2,800 tan sebulan.
“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, lebih 117,000 tan sampah telah diuruskan dan sebahagian besar daripadanya dihantar ke tapak pelupusan Kampung Kundur,” katanya menerusi laman rasmi, semalam.
Beliau berkata, tapak pelupusan Kampung Kundur kini menjadi lokasi utama pengurusan sisa pepejal bagi seluruh Jajahan Gua Musang selepas tapak pelupusan utama MDGM di Batu 5, Renok ditutup bagi memberi laluan kepada pembinaan Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU).
Katanya, selain menerima buangan domestik dari kawasan bandar Gua Musang, tapak tersebut turut menampung sisa pepejal dari kawasan lain termasuk Bertam dan Lojing.
Beliau usaha menaik taraf sistem pengurusan sisa pepejal itu diharap mampu membantu meningkatkan mutu perkhidmatan kebersihan, mengurangkan impak terhadap alam sekitar serta memenuhi keperluan penduduk yang semakin bertambah di kawasan berkenaan.












