Accessibility Tools

Skip to main content

TMB Kelantan ziarah mangsa kemalangan empat bersaudara, nasihat pengguna jalan raya lebih berhati-hati

Oleh: Asri Hamat
foto: Media PKD Temangan

KOTA DARULNAIM, 13 Mei — Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli Dato’ Hassan menziarahi empat bersaudara yang terlibat dalam kemalangan jalan raya di Wad Kecemasan, Hospital Machang, Isnin lalu, sambil menzahirkan keprihatinan terhadap nasib keluarga mangsa.

Dalam lawatan tersebut, beliau turut menasihati semua pengguna jalan raya agar sentiasa mengutamakan keselamatan dan mematuhi peraturan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

“Semua pengguna jalan raya hendaklah sentiasa mematuhi peraturan, ambil langkah-langkah keselamatan, menunggang motosikal dan memandu kenderaan dengan berhemah dan berhati-hati,” katanya menerusi media sosial, pada Selasa.

Beliau berkata, suasana pilu menyelubungi ahli keluarga serta sanak saudara mangsa ketika kunjungan ke wad kecemasan hospital berkenaan pada pagi Isnin.

“Saya turut mendoakan agar semua mangsa diberikan kesembuhan segera dan dipermudahkan segala urusan keluarga yang sedang melalui ujian berat ini,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan empat bersaudara yang dalam perjalanan ke sekolah cedera parah selepas motosikal dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kereta di Kilometer 51.4 Jalan Kota Bharu–Kuala Krai berhampiran Kampung Pek, pada Isnin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu, pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Intan, Muhammad Muskir Rosli bersama tiga pembonceng iaitu Mas Siti Rosnani Rosli, 7, Muhamad Hakikat Abdul Rahman, 9 dan Muhammad Zulhaqif Muhamad Zulkifli, 12, yang masing-masing bersekolah di Sekolah Kebangsaan Kampung Pek mengalami kecederaan parah.

Menurut laporan media, seorang mangsa, Mas Siti Rosnani yang mengalami kecederaan serius terpaksa menjalani pembedahan pemotongan kaki kanan hingga ke paras paha bagi mengelakkan komplikasi lebih serius.

Pautan berjaya disalin!