MTS Tanah Merah juara keseluruhan SMASTAEC & FENAS 2026
Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 13 Mei — Kontinjen Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah mencipta kejayaan yang membanggakan apabila muncul Johan Keseluruhan dalam “Kejohanan Taekwon-Do Sekolah Menengah Agama Se-Malaysia Tahun 2026 (SMASTAEC) & Festival Nasyid (FENAS)” yang berlangsung pada 24 hingga 26 April lalu di Dewan Serbaguna, Kementerian Pertanian dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Putrajaya.
Exco Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat, berkata kejayaan itu membuktikan kesungguhan, disiplin serta semangat juang tinggi dalam kalangan pelajar sekolah berkenaan.
Katanya, kontinjen Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah berjaya membawa pulang 11 pingat emas, 11 pingat perak dan 11 pingat gangsa sekali gus menewaskan 48 sekolah dari seluruh negara.
“Pencapaian ini amat membanggakan dan menjadi bukti bahawa pelajar tahfiz juga mampu cemerlang dalam bidang sukan di samping akademik serta sahsiah diri,” katanya menerusi media sosial, pada Selasa.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada jurulatih, pengurus pasukan, guru pengiring, pihak pentadbiran sekolah serta ibu bapa yang sentiasa memberi sokongan dan bimbingan sepanjang kejohanan berlangsung.
Katanya, kejayaan itu diharap menjadi pemangkin kepada kecemerlangan lebih gemilang pada masa depan selain melahirkan generasi huffaz yang seimbang dalam aspek akademik, sahsiah dan sukan demi manfaat agama, bangsa dan ummah.
Sementara itu, Yayasan Islam Kelantan (YIK) dalam satu kenyataan di laman rasminya berkata, pencapaian hebat ini bukan sahaja membuktikan kecemerlangan dalam arena sukan, malah menyerlahkan kekuatan disiplin, semangat juang, kesatuan serta usaha berterusan para atlet, jurulatih, pengurusan dan guru pengiring.
"Kejayaan memenangi 11 emas, 11 perak dan 11 gangsa merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan.
"Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi berterusan buat seluruh pelajar tahfiz untuk terus unggul dalam akademik, sahsiah dan kokurikulum demi agama, bangsa dan ummah," kata kenyataan itu.












