KUM aktif bangunkan utiliti dan teknologi hijau Kelantan
Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 12 Mei - Kumpulan Utilities Mubaarakan Holdings (KUM), anak syarikat milik penuh Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) memainkan peranan aktif dalam pembangunan industri utiliti dan teknologi hijau di negeri ini.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah berkata KUM sebagai entiti pelaburan strategik diharap mampu memacu pertumbuhan ekonomi negeri menerusi penerokaan usaha niaga baharu serta menarik pelabur tempatan dan asing dalam industri teknologi hijau dan tenaga boleh diperbaharui.
Beliau berkata, antara kejayaan KUM ialah pembangunan projek solar dan hidro yang dilihat berpotensi besar untuk menjana pertumbuhan ekonomi mampan di Kelantan.
“KUM dengan kerjasama Cypark Resources Berhad berjaya membina ladang solar terapung di atas tasik seluas 167 ekar di kawasan Danau Tok Uban,” katanya menerusi media sosial, hari ini.
Menurutnya, KUM turut dilantik Kerajaan Negeri Kelantan sebagai syarikat yang bertanggungjawab menguruskan tapak pelupusan sedia ada dan baharu di seluruh negeri.
Katanya lagi, setakat ini KUM dilantik menguruskan empat tapak pelupusan sampah milik lapan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Kelantan untuk dinaik taraf daripada tapak buangan biasa kepada “sanitary landfill”.
“Projek menggunakan kaedah ‘Material Recovery Facility’ (MRF) juga berjaya dibangunkan di Tapak Pelupusan Beris Lalang, Bachok dan akan diperluaskan ke tapak pelupusan lain milik PBT bagi menjana pendapatan daripada sisa buangan,” jelasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, YB Hilmi memaklumkan bahawa KUM turut diamanahkan melaksanakan program kesedaran dan kempen kitar semula 3R menerusi Program Komuniti Amalan Hijau Kelantan (PKAH) melibatkan sekolah, agensi dan komuniti.
Menurutnya, program itu mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan lebih 80,000 pelajar membabitkan 80 sekolah di seluruh negeri.
“Berikutan kejayaan itu, KUM menerima Anugerah Penarafan Bintang Pengurusan Sisa Pepejal Sektor Komersial, Perindustrian dan Keinstitusian (Star-CII) 2023 serta Sustainability Champion Award 2025 peringkat Asia Pacific Sustainability oleh Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan,” katanya.
Sementara itu, YB Hilmi turut menyarankan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri bergerak seiring perkembangan teknologi, kelestarian alam sekitar dan konsep pembangunan pintar dalam mendepani cabaran ekonomi semasa.
Terdahulu, beliau menerima kunjungan hormat Pengurus Besar baharu KUM, TPr. Hassan Yaakob, di pejabatnya di Mabna Kompleks Kota Darulnaim semalam.
Beliau berharap pengalaman luas yang dimiliki TPr. Hassan di peringkat nasional mampu meletakkan KUM sebagai antara model GLC negeri yang berjaya bukan sahaja di Pantai Timur, malah di Malaysia.
“Semoga pelantikan ini menjadi titik permulaan kepada era baharu yang lebih cemerlang buat Kumpulan Utilities Mubaarakan Holdings,” ujarnya.








