AKSB pulih gangguan bekalan air libatkan lebih 2,000 akaun pengguna di Kota Bharu
Oleh: Syamimi Manah
KOTA BHARU, 12 Mei – Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) sedang giat melaksanakan kerja pembaikan paip utama pecah di beberapa lokasi sekitar daerah ini bagi memastikan bekalan air kepada pengguna kembali pulih secepat mungkin.
Menurut kenyataan AKSB, kerja membaiki paip utama pecah saiz 300 milimeter (12 inci) jenis asbestos cement (AC) di Jalan Telipot sedang dijalankan dan dijangka siap sepenuhnya, hari ini.
Gangguan bekalan air itu membabitkan kira-kira 1,200 akaun pengguna sekitar Kota Bharu.
Kerja pembaikan paip melibatkan kawasan lembah Kampung Sireh, Lembah Sireh dan sekitar pada 11 Mei
"Kawasan terlibat dengan gangguan air adalah Telipot, Jalan Raja Dewa, Lundang, Paya Senang dan kawasan sekitar melibatkan 1,200 akaun pengguna" katanya.
AKSB memaklumkan bekalan air dijangka pulih secara berperingkat selepas kerja pembaikan selesai dilaksanakan.
Dalam perkembangan berkaitan, AKSB turut memaklumkan kerja membaiki paip utama pecah saiz 250 milimeter jenis AC berhampiran Masjid Sultan Mansor, Kampung Sireh yang pecah pada pukul 10 malam semalam telah siap dibaiki pada pukul 6 pagi tadi.
Kerja pembaikan paip melibatkan kawasan Telipot, Jalan Raja Dewa, Lundang, Paya Senang pada 12 Mei
"Kawasan yang terlibat adalah Kampung Sireh, Lembah Sireh, Laluan Belakang SUK, Kampung Limau Manis, Jalan Hamzah dan kawasan sekitar membabitkan 850 akaun pengguna" ujarnya.
Sehubungan itu, AKSB menyeru pengguna yang mempunyai sebarang aduan berkaitan bekalan air untuk menghubungi talian 15777 (PINTAS Careline) untuk tindakan lanjut.












