Accessibility Tools

Skip to main content

Peniaga ikan Tok Bali kembali berniaga selepas terima sumbangan motosikal roda tiga baharu

Oleh: Syamimi Manah
Foto:  Media PKD Semerak

PASIR PUTEH, 12 Mei - Seorang peniaga ikan di Tok Bali kini dapat kembali meneruskan perniagaan harian selepas menerima sumbangan sebuah motosikal roda tiga baharu daripada Ahli Dewan Negeri (ADN) Semerak YB Norsham Sulaiman, semalam.

Sumbangan tersebut diberikan kepada Abdul Fatah Yahaya, 66, yang sebelum ini terkesan apabila motosikal roda tiga milik keluarganya musnah dalam kejadian kebakaran, sekali gus menjejaskan sumber pendapatan utamanya sebagai peniaga ikan.

Menurut YB Norsham Sulaiman, kejadian kebakaran itu berlaku pada tahun 2025 ketika mangsa sedang menjalankan urusan jualan ikan di Lorong Perumahan Dahlia, Kampung Tekong Air Merah Kandis.

"Motosikal roda tiga baharu itu diserahkan sebagai usaha membantu beliau bangkit semula meneruskan aktiviti perniagaan di kawasan Tok Bali " katanya di laman rasmi, semalam.

Tambahnya, kenderaan berkenaan dilaporkan terbakar pada bahagian enjin sebelum api merebak dengan cepat. Usaha memadamkan kebakaran gagal, menyebabkan keseluruhan kenderaan musnah.

Kejadian itu menyebabkan Abdul Fatah hilang punca pendapatan kerana motosikal tersebut merupakan aset utama untuk menjalankan perniagaan harian.

Susulan kejadian berkenaan, ADN Semerak menyalurkan sumbangan bagi membolehkan beliau kembali berniaga dan menjana pendapatan seperti biasa.

“Alhamdulillah, dengan sumbangan ini membolehkan Encik Abdul Fatah meneruskan mata pencariannya semula,” ujarnya.

Beliau turut berharap bantuan tersebut dapat meringankan beban keluarga mangsa serta memberi semangat untuk terus bangkit selepas menghadapi ujian.

Pautan berjaya disalin!