Accessibility Tools

Skip to main content

Kelantan hasilkan 100 tan jagung bijian untuk ternakan

Oleh: Irham Hilmi Hashim

JELI, 12 Mei – Projek tanaman jagung bijian dan penghasilan silaj daripada batang jagung di Mukim Jeli Tepi Sungai yang dilaksanakan di bawah Projek Pembangunan Tanah Terbiar dijangka mampu menghasilkan sekurang-kurangnya 100 tan jagung bijian setiap musim sebagai sumber bahan mentah utama makanan ternakan.

Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, projek seluas 50 ekar itu dilaksanakan melalui kerjasama antara Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bersama Kerajaan Negeri Kelantan menerusi Darulnaim Agro Management Industries Sdn. Bhd. (DAMAI).

Menurutnya, hasil pengeluaran sebanyak 100 tan jagung bijian setiap musim merupakan antara nilai paling penting dalam projek berkenaan kerana ia menyumbang secara langsung kepada bekalan makanan ternakan ruminan dan unggas.

“Projek ini bukan sahaja memberi fokus kepada pengeluaran jagung bijian, malah turut melibatkan penghasilan silaj daripada batang jagung sebagai sumber makanan ternakan,” katanya ketika meninjau perkembangan projek tersebut, di sini, hari ini.

Menurutnya, usaha ini amat signifikan dalam mengurangkan kebergantungan negara terhadap import bahan dedak, sekali gus membantu menstabilkan kos makanan ternakan serta memperkukuh agenda keterjaminan makanan negara.

Tambahnya, projek berkenaan turut dilihat sebagai antara pendekatan terbaik dalam memanfaatkan tanah terbiar secara lebih produktif melalui pembangunan pertanian moden.

Beliau turut berharap pelaksanaan projek tersebut akan terus diperkasakan dan menjadi model pembangunan pertanian yang memberi manfaat besar kepada rakyat Kelantan.

Lawatan kerja tersebut turut disertai Pengurus Besar Darulnaim Agro Management Industries Sdn. Bhd. (DAMAI) YM Tuan Muhammad Faizal Tuan Sulaiman serta Ahli Lembaga Pengarah syarikat berkenaan.

Pautan berjaya disalin!