Accessibility Tools

Skip to main content

Empat pemimpin Machang santuni 1000 "Anak Mache" di Lembah Klang

Oleh: Irham Hilmi Hashim

KUALA LUMPUR, 12 Mei – Empat pemimpin Machang hadir menyantuni 1000 anak-anak perantau dalam Program Temu Mato Anak Mache di Perantauan bertemakan “Sep Kito Jangey Pecoh”.

Program tersebut sekali gus memperkukuh jaringan ukhuwah dan hubungan komuniti Anak Mache di Lembah Klang yang berlangsung di IWK Eco Park, Pantai Dalam, Sabtu lalu.

Program berkenaan dimeriahkan oleh anak Machang dari pelbagai latar belakang yang menetap di sekitar Lembah Klang, menjadikan ia antara himpunan perantau terbesar bagi komuniti tersebut, setakat ini.

Program anjuran Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Kerajaan Negeri Kelantan (UPKN) dengan kerjasama Pusat Khidmat Dewan Negeri (DUN) Temangan, Kemuning dan Pulai Chondong serta PERAKAN itu adalah platform penyatuan anak-anak Machang di perantauan.

Mereka yang hadir menyantuni program tersebut ialah Timbalan Menteri Besar Kelantan merangkap Ahli Dewan Negeri (ADN) Temangan YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan, Ahli Dewan Negeri (ADN) Kemuning Ahmad Zakhran Mat Noor, Ahli Dewan Negeri (ADN) Pulai Chondong Azhar Salleh serta Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Dalam ucapan perasmian, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, program tersebut merupakan antara inisiatif tahunan bagi menyantuni rakyat Machang yang berada di luar Kelantan selain memperkukuh hubungan antara perantau dan pimpinan setempat.

Timbalan Menteri Besar Kelantan merangkap Ahli Dewan Negeri (ADN) Temangan, YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan

Menurutnya, hubungan yang kukuh antara anak perantau dan pimpinan kawasan amat penting dalam memastikan kebajikan rakyat terus terbela serta agenda pembangunan Machang dapat dilaksanakan secara lebih menyeluruh.

Sementara itu, YB Ahmad Zakhran Mat Noor berkata, anak-anak Machang di perantauan digalakkan untuk menubuhkan organisasi rasmi di bawah nama Anak Machang sebagai medium penyatuan komuniti.

Menurutnya, penubuhan organisasi tersebut mampu menjadi jambatan kerjasama strategik antara anak perantau dengan pimpinan di ketiga-tiga DUN Machang dalam memperkasa agenda pendidikan, ekonomi, peluang pekerjaan dan keusahawanan.

“Anak-anak Machang yang berada di luar Kelantan seperti di Lembah Pantai, Gombak, Damansara, Shah Alam, Puchong dan Nilai perlu mempunyai organisasi sendiri atas nama Anak Machang.

“Melalui organisasi ini diharapkan dapat diwujudkan kerjasama yang lebih erat bersama pimpinan di Machang demi manfaat rakyat,” katanya.

Turut hadir, Ketua Whip Majlis Daerah Machang Mohd Zuhairi Awang.

Pautan berjaya disalin!