Harum Manis Klate tanaman alternatif di Melawi
Oleh: Norzana Razaly
BACHOK, 12 Mei — Tanaman Harum Manis Klate atau Al-Falah kini muncul sebagai alternatif baharu kepada tanaman tembakau dan ubi kayu di Mukim Kuala Rekang, Melawi.
Projek komuniti yang digerakkan Kerajaan Negeri Kelantan itu menunjukkan perkembangan positif dengan penyertaan peserta baharu serta hasil tuaian yang memberangsangkan.
Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Negeri, YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail
Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Negeri YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, projek yang memasuki tahun ketiga bagi peserta baharu itu melibatkan 10 peserta komuniti yang dibekalkan 100 anak benih pokok mempelam varieti induk Harumanis Perlis setiap seorang untuk diusahakan di kawasan seluas kira-kira seekar.
Menurutnya, inisiatif tersebut merupakan sebahagian usaha kerajaan negeri memperkenalkan tanaman alternatif bernilai tinggi bagi meningkatkan pendapatan penduduk setempat.
“Kita sudah ada 10 peserta yang tanamannya telah berbuah dan mengeluarkan hasil daripada pokok berusia enam hingga tujuh tahun. Kini kita ada 10 peserta baharu. 50 lagi peserta baharu sedang dicari untuk mengusahakannya kerana kita mahu jadikan Melawi sebagai Zon Harum Manis Klate.
“Keseluruhannya, pokok Harum Manis Klate yang ditanam di sekitar kawasan ini mencecah kira-kira 3,000 pokok,” katanya ketika mengadakan lawatan ke kebun peserta, semalam.
Terdahulu, Kerajaan Negeri Kelantan memperuntukkan sebanyak RM120,000 bagi memperkukuh pembangunan Projek Komuniti Tanaman Mangga Harum Manis Al-Falah.
Program itu melibatkan komuniti Mukim Kuala Rekang, Melawi dengan penyertaan 10 peserta menerusi pendekatan mentor dan mentee, membabitkan lima penanam sedia ada serta lima peserta baharu.
Bantuan yang disalurkan merangkumi input pertanian termasuk penyediaan kawasan tanaman, 100 anak benih Harum Manis bagi setiap peserta, sistem pam air dan pengairan, selain kursus teknikal serta lawatan pembelajaran ke Perlis melalui kerjasama Jabatan Pertanian Kelantan dan Jabatan Pertanian Negeri Perlis.
Pada 25 Mei 2025, peserta turut dibawa ke Perlis bagi mengikuti kursus tanaman Harumanis serta melawat beberapa ladang contoh bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pengurusan tanaman.
Menurut Dato' Mohd Saripudin, projek yang kini memasuki tahun kelima secara keseluruhan memperlihatkan perkembangan memberangsangkan apabila sebahagian pokok mula mengeluarkan hasil.
Sementara itu, salah seorang peserta, Zunaidah Teh, 61, menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri atas bantuan input pertanian, anak benih serta peluang mengikuti kursus berkaitan.
“Saya mengusahakan tanaman Harum Manis Klate sebanyak 45 pokok dan berjaya menuai hasil kira-kira satu tan.
“Asalnya saya menanam tembakau. Selepas tanah terbiar begitu lama, saya cuba pula tanam Harum Manis Klate. Alhamdulillah, berkat mengikuti kursus anjuran KPKB dan mematuhi tunjuk ajar pegawai pertanian Bachok, tanah terbiar kini bertukar menjadi ladang pauh,” katanya ketika ditemui di lokasi, pada Isnin.
Sehubungan itu, Ahli Dewan Negeri Pantai Irama YB Mohd Huzaimy Che Husin menzahirkan ucapan tahniah atas kejayaan para peserta sekali gus menaikkan nama Melawi sebagai lokasi Harum Manis terbesar di Kelantan.
Beliau memaklumkan bahawa pihaknya mengambil inisiatif melebarkan jalan masuk ke kebun bagi kemudahan peserta dan pembeli untuk sesi jualan ladang dibuka pada 16 Mei depan.
"Perkembangan projek tersebut dilihat berpotensi membuka lembaran baharu sektor agromakanan negeri, sekali gus menjadikan Melawi di DUN Pantai Irama ini sebagai hab Harum Manis Klate yang bernilai tinggi dan mampu memperkukuh ekonomi komuniti luar bandar," ujarnya.






















