Accessibility Tools

Skip to main content

Projek paip 1.6 km beri manfaat kepada 707 pengguna di Gua Musang

Oleh: Syamimi Manah
Foto: Media Exco

KOTA DARULNAIM, 12 Mei – Kerja-kerja penukaran dan pemasangan paip baharu sepanjang 1.6 kilometer di Kampung Tanah Putih, Gua Musang pada Ahad lalu dijangka memberi manfaat kepada 707 akaun pengguna apabila sistem agihan air di kawasan berkenaan semakin stabil dan efisien.

Projek yang dilaksanakan oleh Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan negeri dalam memperkukuh infrastruktur bekalan air serta mengurangkan kadar Non-Revenue Water (NRW) atau Air Tidak Terhasil.

Exco Kerjaraya, Infrastruktur Air dan Pembangunan Luar Bandar YB Dato' Dr Izani Husin berkata, projek berkenaan melibatkan pemasangan paip UPVC bersaiz 6 inci (150 milimeter) bagi menggantikan paip lama yang kerap mengalami masalah pecah dan kebocoran.

Menurutnya, keadaan paip lama sebelum ini turut menjejaskan kestabilan bekalan air khususnya kepada penduduk di kawasan tinggi dan penghujung sistem agihan.

“Kerja-kerja penukaran ini dilaksanakan bagi memastikan tekanan air lebih stabil dan agihan lebih efisien kepada pengguna,” katanya menerusi di laman rasmi, hari ini.

Menurutnya, projek berkenaan kini berada pada peringkat pelaksanaan dan dijadual siap sepenuhnya pada 25 Mei ini.

Katanya lagi, apabila siap kelak, ia akan meningkatkan kecekapan sistem agihan air sekali gus memberi keselesaan kepada 707 akaun pengguna di kawasan terbabit.

"Kerajaan negeri melalui AKSB terus komited melaksanakan pelbagai projek naik taraf infrastruktur air secara berperingkat bagi memastikan bekalan air bersih dapat disalurkan dengan lebih baik kepada rakyat, khususnya di kawasan luar bandar" ujarnya.

Pautan berjaya disalin!