Sokor lokasi strategik bina litar sukan lasak
Oleh: Asri Hamat
Foto: Media Exco
KOTA DARULNAIM,12 Mei – Kawasan Sokor di Tanah Merah dikenal pasti sebagai lokasi strategik untuk pembangunan litar sukan lasak berikutan keunikan bentuk muka buminya yang mempunyai ketinggian semula jadi.
Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Mohamad berkata, ciri geografi di kawasan itu amat sesuai untuk dibangunkan sebagai litar yang mencabar dan kompetitif bagi para pelumba.
Menurutnya, kawasan berkenaan juga telah diwartakan secara rasmi bagi tujuan pembangunan litar sukan lasak.
“Keunikan kawasan Sokor terletak pada bentuk muka buminya yang mempunyai ketinggian semula jadi atau 'natural elevation'.
“Ciri geografi sebegini sebenarnya sangat strategik untuk kita bangunkan sebuah litar yang mencabar dan kompetitif buat para pelumba,” katanya menerusi media sosial, pada Isnin.
Terdahulu, beliau mengadakan lawatan kerja ke tapak kawasan terbabit semalam bagi meninjau sendiri keadaan lokasi serta menilai potensi sebenar struktur muka bumi di kawasan berkenaan.
Beliau menjelaskan bahawa projek pembinaan litar itu merupakan antara inisiatif kerajaan negeri dalam menyediakan platform alternatif yang lebih progresif kepada golongan belia.
Tambahnya, kerajaan mahu menyalurkan minat dan bakat anak muda ke arah yang lebih positif melalui penyediaan kemudahan sukan yang selamat dan terkawal.
“Melalui penyediaan litar yang selamat dan terkawal, risiko penglibatan anak muda dalam aktiviti tidak sihat di jalan raya dapat dikurangkan.
“Pada masa sama, mereka juga boleh mengasah kemahiran dalam persekitaran yang lebih profesional,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan kawasan berkenaan dimanfaatkan sepenuhnya demi pembangunan komuniti motorsikal lasak dan masa depan generasi muda.














