Accessibility Tools

Skip to main content

16 pelajar khatam al-Quran Talaqqi Online Pusat Tarannum Kelantan

Oleh: Asri Hamat
Kredit foto Media Exco

KOTA DARULNAIM, 12 Mei – Sebanyak 16 pelajar berjaya mengkhatam al-Quran menerusi kelas Pengajian Talaqqi Online Pusat Tarannum al-Quran Negeri Kelantan 2026.

Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud berkata daripada jumlah itu, seorang peserta adalah dari Selangor.

Beliau berkata, lima lagi peserta menerima sanad khas pengajian secara bersemuka bersama Syeikh Qurra’ Kelantan Syeikh Hisham Abdul Bari Mohamed Rageh, menjadikan keseluruhan pelajar yang khatam sebanyak 21 orang.

Katanya, Pengajian Talaqqi Musyafahah tersebut bermula pada 16 Julai 2025 dan berakhir pada 22 April lalu serta menjadi antara keutamaan kerajaan negeri dalam memperkasakan pengajian al-Quran.

“Pengajian Talaqqi Musyafahah ini akan terus menjadi keutamaan Kerajaan Negeri Kelantan dan insya Allah akan diperlebarkan ke seluruh agensi dan jabatan kerajaan,” katanya menerusi media sosial, pada Isnin.

Menurutnya lagi, Pusat Tarannum al-Quran Negeri Kelantan juga akan menawarkan pengajian kepada peserta peringkat antarabangsa pada tahun ini.

Terdahulu, beliau merasmikan Majlis Khatam al-Quran Pengajian Talaqqi Online Pusat Tarannum al-Quran Kelantan 2026 di Dewan Saidina Abu Bakar, Kompleks Islam Darulnaim, Kota Bharu, semalam.

Turut hadir dalam majlis perasmian tersebut, Ketua Hakim Syarie Negeri Dato' Ibrahim Deris, Pengerusi Pertubuhan Akademi al-Quran Bandaraya Islam YB Dato' Abdul Fatah Mahmood, Timbalan Mufti Kelantan YB Dato' Biji Sura Dato' Nik Abdul Kadir Nik Mohamad, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) merangkap Pengerusi Pusat Tarannum Dr Hasnan Ramli, Pengarah Jabatan Pendakwaan Syariah Mohd Hafiz Daud dan Ketua Pengelola Halaqat Mohd Alwee Yusoff.

Pautan berjaya disalin!