Pantai Geting, Tok Bali lokasi pembangunan ternakan udang negeri
Oleh: Syamimi Manah
TUMPAT, 11 Mei – Projek Penternakan udang putih di Pantai Geting, Tumpat dan Tok Bali, Pasir Puteh kini menjadi antara lokasi utama yang diberi perhatian dalam usaha memperkukuh pembangunan industri ternakan udang di Kelantan.
Ketua Pegawai Eksekutif PKPNK Nik Razak Nik Hassan berkata, ketika ini hanya terdapat dua pusat ternakan udang utama di negeri ini iaitu projek ternakan udang putih di Pantai Geting kerjasama antara PKPNK dan syarikat FZ Farm serta projek di Tok Bali yang diusahakan menerusi kerjasama Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dengan sebuah syarikat swasta.
Menurutnya, kedua-dua projek berkenaan mempunyai potensi besar untuk terus dikembangkan bagi memenuhi permintaan pasaran yang semakin meningkat.
“PKPNK memantau projek di Pantai Geting sejak dari awal lagi dan kita mahu melihat projek ini terus berkembang serta diperbesarkan.
“Setiap minggu kita akan menghantar pegawai untuk memantau operasi dan membantu memastikan pengurusan ternakan berjalan dengan baik,” katanya ketika lawatan ke projek ternakan udang putih di Pantai Geting, hari ini.
Menurutnya lagi, industri ternakan udang putih mampu menjadi sumber ekonomi baharu negeri selain membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat dan golongan belia.
Tambahnya, pembangunan industri akuakultur memerlukan pengurusan yang teliti terutama melibatkan sistem air, oksigen dan penyelenggaraan kolam bagi memastikan hasil ternakan berada pada tahap berkualiti.
Sementara itu, pengusaha bersama projek ternakan udang putih Pantai Geting Zainal Abidin Derani, 63, berkata, beliau telah mempunyai pengalaman dalam bidang penternakan sejak tujuh tahun lalu selepas sebelum ini terlibat dalam ternakan ikan kerapu di Langkawi.
Pengusaha bersama projek ternakan udang putih Pantai Geting Zainal Abidin Derani, 63
Beliau menjelaskan, projek tersebut kini mempunyai 32 sangkar utama dan 10 kolam asuhan benih dengan jumlah pelaburan hampir RM500,000.
“Kita bermula dengan dua pekerja sahaja dan sekarang sudah ada lapan pekerja yang menguruskan penjagaan air, oksigen, elektrik dan makanan.
“Satu kolam boleh menghasilkan kira-kira 350 kilogram udang dan dijual sekitar RM25 sekilogram,” ujarnya.
Menurutnya lagi, penternakan udang putih memerlukan ilmu dan pemantauan berterusan terutama membabitkan empat aspek utama iaitu air, suhu, tahap pH dan oksigen bagi memastikan udang membesar dengan baik serta mencapai kualiti pasaran.














