PKPNK hasilkan 1.5 tan udang putih setiap pusingan ternakan
Oleh: Syamimi Manah
TUMPAT, 11 Mei — Projek ternakan udang putih di Pantai Geting kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Kelantan (PKPNK) terus menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila berjaya menghasilkan kira-kira 1.5 tan udang bagi setiap pusingan ternakan menerusi 30 kolam yang diusahakan secara berperingkat.
Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, projek kerjasama antara PKPNK dan syarikat FZ Farm itu kini memasuki pusingan ketiga ternakan serta hampir mencapai kapasiti maksimum pengeluaran.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke projek berkenaan hari ini yang turut diiringi Ketua Pegawai Eksekutif PKPNK Nik Razak Nik Hassan.
Menurutnya, permintaan terhadap udang putih berkenaan kekal tinggi dengan pasaran meliputi restoran, pengguna tempatan serta pembekal umpan memancing.
“Permintaan terhadap udang putih ini sangat tinggi sehingga pasaran tempatan sendiri masih tidak mencukupi.
“Alhamdulillah, projek ini menunjukkan perkembangan yang baik dan kerajaan negeri bercadang memperluaskan kawasan ternakan daripada tiga ekar kepada tujuh ekar,” katanya.
Beliau juga memaklumkan bahawa peluasan kawasan ternakan itu dijangka meningkatkan kapasiti pengeluaran sekali gus menyokong agenda keterjaminan makanan negeri serta memperkukuh industri akuakultur tempatan.
Dalam masa sama, lokasi ternakan tersebut turut dijadikan pusat latihan kepada golongan belia dan usahawan muda yang berminat menceburi bidang akuakultur.
Katanya lagi, pengusaha projek memiliki pengalaman luas dalam industri penternakan selain terus menambah baik fasiliti termasuk akses jalan, bekalan elektrik dan sistem sokongan lain bagi memastikan operasi berjalan lebih efisien.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan kerajaan negeri turut membangunkan projek ternakan udang berskala besar di Tok Bali menerusi kerjasama antara PKINK dan sebuah syarikat swasta.
“Kita amat menggalakkan lebih ramai pengusaha baharu menyertai industri ini, namun mereka perlu mempunyai ilmu dan latihan mencukupi supaya projek dapat dijalankan secara berterusan.
“Kerajaan negeri juga bersedia membantu pengusaha yang benar-benar bersedia berdasarkan penilaian dan keperluan projek,” jelasnya.
Beliau optimis perkembangan positif projek ternakan udang putih di Pantai Geting itu berpotensi menjadi pemangkin baharu kepada pembangunan industri agromakanan negeri, di samping membuka peluang ekonomi kepada komuniti setempat.












