Accessibility Tools

Skip to main content

4 mangsa ribut terima sumbangan Tabung Serambi Mekah

Oleh: Irham Hilmi Hashim

MACHANG, 11 Mei — Sejumlah empat mangsa ribut dalam Dewan Negeri (DUN) Kemuning menerima bantuan daripada Tabung Serambi Mekah menerusi satu majlis penyampaian yang berlangsung di Pusat Khidmat DUN Kemuning, di sini, semalam.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kemuning Ahmad Zakhran Mat Noor berkata, bantuan tersebut merupakan manifestasi keprihatinan berterusan Kerajaan Negeri Kelantan dalam menjaga kebajikan rakyat yang ditimpa musibah.

Menurutnya, Tabung Serambi Mekah yang diperkenalkan sejak tahun 1991 menjadi antara medium penting kerajaan negeri dalam menyalurkan bantuan kepada rakyat yang memerlukan tanpa mengira kaum dan agama.

“Tabung Serambi Mekah diperkenalkan bersempena gelaran Kelantan sebagai Serambi Mekah dan menjadi simbol kepada konsep Negeri Berkebajikan yang dibawa oleh kerajaan negeri.

“Ia juga ditubuhkan di bawah peruntukan Akta Kewangan 1957 sebagai langkah berstruktur untuk memperkukuh sistem kebajikan rakyat selaras dengan dasar Membangun Bersama Islam,” jelasnya.

Menurutnya lagi, sepanjang lebih tiga dekad pelaksanaannya, tabung berkenaan telah memberi manfaat kepada ribuan rakyat dan mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan kesejahteraan sosial rakyat terus dipelihara.

Tambahnya, pendekatan kebajikan yang dilaksanakan itu turut memperlihatkan nilai kemanusiaan dan kebersamaan yang sentiasa menjadi teras pentadbiran negeri Kelantan.

Pautan berjaya disalin!