Accessibility Tools

Skip to main content

Ibu bapa guru pertama dalam pembentukan akhlak anak-anak

Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM,11 Mei — Ibu bapa, terutamanya ibu, merupakan guru pertama kepada anak-anak dalam membentuk akhlak dan adab yang baik sejak kecil.

Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud berkata, peranan ibu bapa amat penting dalam membina masyarakat yang bertamadun dan berakhlak mulia.

“Guru pertama inilah yang memperkenalkan anak-anak dengan akhlak dan adab yang baik sehingga menjadi mata rantai kepada pembentukan masyarakat yang bertamadun,” katanya menerusi media sosial, pada Ahad.

Justeru itu serunya, anak-anak wajib berbakti kepada kedua ibu bapa dengan menjaga serta menyantuni keperluan mereka terutama ketika usia tua.

"Atas dasar itulah Kerajaan Negeri Kelantan memperuntukkan beberapa seksyen berkaitan kebajikan ibu bapa dalam Rang Undang-Undang (RUU) Keluarga Islam 2025.

“Seksyen 58 berkait kuasa Mahkamah untuk memerintahkan pembayaran nafkah kepada ibu bapa dan leluhur, manakala Seksyen 88 pula bersabit penjagaan ibu bapa oleh anak dan pewaris,” jelasnya.

Selain itu Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 melalui Seksyen 33 turut memperuntukkan larangan terhadap perbuatan menderhaka kepada ibu bapa.

Menurutnya, langkah itu menunjukkan keprihatinan Kerajaan Kelantan dalam memperkukuhkan institusi kekeluargaan menerusi dasar Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI).

Katanya lagi, institusi keluarga yang kukuh mampu memberi kesan positif kepada pembangunan akhlak anak-anak sekali gus melahirkan masyarakat yang lebih baik dan berbudi pekerti.

“Secara tidak langsung akan memberikan impak kepada pembentukan sosial masyarakat yang lebih baik dan berbudi pekerti, jauh daripada jenayah dan penyelewengan,” ujarnya.

Mengulas sambutan Hari Ibu, YB Mohd Asri berkata penghargaan terhadap ibu tidak seharusnya terbatas kepada sambutan bulanan atau tahunan semata-mata.

Sebaliknya, kasih sayang terhadap ibu dan bapa perlu dizahirkan setiap masa sepanjang hayat anak-anak.

“Kasih Ayah Sepanjang Masa, Kasih Ibu Membawa Ke Syurga,” katanya.

Pautan berjaya disalin!