Accessibility Tools

Skip to main content

1,000 peserta meriahkan Half Marathon Jeli, pelari Kenya ungguli kategori antarabangsa

Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Media ADN Kuala Balah

JELI, 11 Mei – Sebanyak 1,000 peserta dari dalam dan luar negara memeriahkan Program Jeli MD Stats Nature Half Marathon 2026 yang berlangsung di Padang Istiadat Majlis Daerah Jeli (MDJ) pada Sabtu.

Program yang bertemakan “Run, Breathe, Nature" itu mengetengahkan elemen gaya hidup sihat dan keindahan alam semula jadi Jeli sebagai daya tarikan utama acara.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Balah YB Dato' Abdul Hadi Awang Kechil mewakili Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhammad merasmikan program tersebut.

Menurutnya, program anjuran bersama Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan MDJ itu berjaya menarik penyertaan 1000 peserta dari pelbagai negeri serta luar negara termasuk enam peserta dari Kenya.

Katanya lagi, pelari dari Kenya turut mengungguli kategori antarabangsa 21 kilometer (International) sekali gus menyerikan lagi penganjuran acara bertaraf antarabangsa itu.

“Penyertaan yang memberangsangkan termasuk dari luar negara membuktikan Jeli mampu menjadi lokasi penganjuran acara sukan yang berprestij serta berdaya saing,” katanya menerusi laman rasmi.

Antara kategori dipertandingkan ialah 21 kilometer lelaki dan perempuan, 10 kilometer lelaki dan perempuan, kategori antarabangsa (open) lelaki dan perempuan serta lima kilometer (Fun Run).

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Perangkawan Malaysia Dato' Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin, Yang Dipertua MDJ Wan Fahazil Wan Mohamad Jaffar, pihak keselamatan, jabatan kerajaan serta semua pihak yang terlibat menjayakan program berkenaan.

Tambahnya, hampir semua pejabat kerajaan negeri dan persekutuan turut mengambil bahagian dalam pameran sempena acara tersebut termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).

“Kerjasama erat antara pelbagai jabatan dan agensi dalam menjayakan program ini amat membanggakan dan wajar diteruskan pada masa akan datang,” ujarnya.

Pautan berjaya disalin!