Modus operandi baharu pengedaran dadah secara dalam talian perlu tindakan pantas - Pengerusi PEMADAM Kelantan
Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Media Exco
KOTA DARULNAIM, 11 Mei - Pihak berkuasa kini berdepan cabaran mencegah penyalahgunaan dadah dan perlu bertindakan lebih pantas apabila modus operandi baharu pengedaran dadah yang bukan lagi berlaku secara tradisional di lorong gelap, sebaliknya boleh dibeli secara dalam talian dan diselindungkan melalui perkhidmatan bungkusan.
Pengerusi Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Negeri Kelantan YB Zamakhshari Mohamad, berkata situasi itu menjadi semakin mencabar dengan kemunculan trend dadah sintetik yang lebih kompleks.
Beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan berkata, tindakan lebih pantas dan menyeluruh perlu digerakkan semua pihak bagi mengekang ancaman terbabit daripada terus menular dalam masyarakat.
Katanya, PEMADAM di peringkat komuniti perlu lebih proaktif dalam melaksanakan gerak kerja akar umbi supaya mesej kesedaran dan pemulihan dapat disampaikan terus kepada masyarakat.
“Mesej kesedaran dan pemulihan perlu sampai terus ke pintu-pintu rumah, bukan sekadar di media sosial,” katanya menerusi media sosial, pada Ahad.
Beliau berkata, isu penyalahgunaan dadah bukan hanya tanggungjawab polis atau Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) semata-mata, sebaliknya memerlukan penglibatan ibu bapa, guru dan pemimpin masyarakat sebagai barisan hadapan.
“Kita perlu melindungi anak muda kita sebelum mereka terjerumus,” jelasnya.
Tegasnya, usaha memerangi dadah juga tidak boleh tertumpu kepada rawatan semata-mata, sebaliknya perlu menyentuh punca utama ketagihan bagi memutuskan rantaian bekalan dan permintaan.
“Matlamat kita bukan sekadar merawat gejala, tetapi memutuskan sepenuhnya rantaian bekalan dan permintaan dadah,” katanya.
Tambah YB Zamakhshari, kerjasama antara agensi dan masyarakat menjadi kunci utama dalam memastikan isu penyalahgunaan dadah dapat dibendung dengan lebih berkesan.
Menurutnya, semua pihak perlu memainkan peranan dan tidak menunggu sehingga masalah itu berlaku dalam keluarga sendiri sebelum bertindak.
“Bersama kita bina benteng yang kukuh demi masa depan generasi Kelantan yang lebih sejahtera,” ujarnya.
Terdahulu beliau mempengerusikan mesyuarat bersama PEMADAM Negeri Kelantan di Bilik Gerakan Mabna, Kompleks Kota Darulnaim pada Ahad.
Mesyuarat tersebut memperincikan strategi dan pelan tindakan bersepadu mencegah penyalahgunaan dadah bersama agensi penguat kuasa, institusi kesihatan, serta jabatan berkaitan.












