YTK perantara kerajaan negeri dengan institusi pondok di Kelantan
Oleh: Asri Hamat
PASIR MAS, 10 Mei – Yayasan Amanah Tok Kenali (YTK) memainkan peranan sebagai perantara antara Kerajaan Negeri Kelantan dengan institusi pondok di seluruh negeri ini.
Pengarah YTK Zulqarnain Hassan berkata yayasan itu yang ditubuhkan oleh Allahyarham Tan Sri Dato' Bentara Setia Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat bertujuan melaksanakan program pembangunan insan melalui pendidikan Islam dan usaha memperjuangkan agama.
Katanya, selaras dengan matlamat penubuhan itu, YTK memberi fokus kepada pondok-pondok di Kelantan dengan menyalurkan sumbangan selain menggalakkan pelbagai aktiviti dan program pembangunan ummah dilaksanakan.
“Selain pengajian kitab yang menjadi rutin harian, pondok juga digalakkan mengadakan program lain seperti perkhemahan dan kursus tertentu bagi membina kemahiran pelajar.
“Di samping mengaji kitab, pelajar juga perlu didedahkan dengan ilmu kepimpinan dan dakwah supaya dapat menyampaikan mesej Islam apabila keluar dari pondok nanti."
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan alu-aluan di Program Ziarah Mahabbah Pondok Kelantan 2026, di Pondok Hidayah Bamboo Rajawali, Pangkal Kala, di sini, pada Khamis.
Program anjuran YTK tersebut dirasmikan oleh Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud.
Menurut Zulqarnain lagi, YTK juga bersedia membantu pondok yang mahu melaksanakan program tertentu tetapi berdepan kekangan kewangan atau tenaga pelaksana.
“Kalau ada pondok yang merasakan mereka tidak mampu melaksanakan program tertentu, boleh datang berbincang dengan YTK dan kita akan cuba usahakan bantuan sebaik mungkin,” jelasnya.
Ujarnya lagi, selain program rutin, YTK turut melaksanakan program hujung minggu dan program berkala tahunan bagi membantu pembangunan pelajar pondok.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan semua pelajar pondok sama ada golongan muda, dewasa atau warga emas supaya memanfaatkan masa menuntut ilmu sebaik mungkin.
“Gunakan peluang berada di pondok untuk menimba sebanyak mungkin ilmu, daripada peringkat asas hingga ke tahap lebih tinggi.
“Ada bijak pandai berpesan mengaji biar pandai, perangai biar elok dan hidup ini biar boleh menjadi tempat orang lain bergantung,” katanya.










