68,000 pokok nanas inovasi agropreneur di Sungai Satan
Oleh: Syamimi Manah
KOTA DARULNAIM, 10 Mei – Sebanyak 68,000 pokok nanas yang ditanam di kawasan seluas empat ekar di Kampung Sungai Satan, Ayer Lanas, Jeli menjadi pemangkin kepada pembangunan inovasi agropreneur komuniti menerusi pelaksanaan Projek Pusat Transformasi Tuaian ketiga (Sisa Nanas).
Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, projek tersebut merupakan antara inisiatif penting dalam memperkukuhkan sektor agropreneur komuniti serta meningkatkan nilai ekonomi penduduk setempat melalui pendekatan berasaskan inovasi dan nilai tambah hasil pertanian.
"Projek berkeluasan 4 ekar ini telah ditanam dengan sebanyak 68,000 pokok nanas sebagai antara usaha memperkukuhkan sektor agropreneur komuniti dan meningkatkan hasil ekonomi penduduk setempat" katanya di laman rasmi, pada Khamis.
Menurutnya pelaksanaan Pusat Tuaian Sisa Nanas Ketiga di Sungai Satan itu memberi tumpuan kepada pengeluaran hasil segar dan turut menekankan pemanfaatan sisa nanas kepada produk hiliran yang lebih bernilai tinggi.
Beliau berkata demikian selepas meninjau perkembangan semasa projek berkenaan bersama Ahli Dewan Negeri (ADN) Ayer Lanas YB Datuk Kamarudin Md Nor serta pihak Koperasi Komuniti Prihatin Sungai Satan (KOMPAS), pada Khamis.
“Projek ini membuktikan potensi besar industri nanas di Jeli untuk terus berkembang, bukan sahaja sebagai pengeluar hasil segar tetapi juga sebagai penggerak kepada industri hiliran yang lebih inovatif,” ujarnya.
Tambahnya, antara potensi yang sedang diteroka termasuk penghasilan makanan ternakan ruminan serta bongkah cendawan berasaskan sisa nanas, sekali gus mengurangkan pembaziran dan meningkatkan nilai tambah ekonomi tanaman tersebut.
Projek berkenaan turut mendapat sokongan dan bimbingan daripada Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia Negeri Kelantan dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dalam memperkukuh pembangunan industri nanas secara menyeluruh.
Menurutnya lagi, Ayer Lanas berpotensi menjadi perintis kepada penghasilan produk hiliran berasaskan nanas yang mampu memberi impak besar kepada ekonomi komuniti serta membuka lebih banyak peluang kepada agropreneur tempatan.














