Accessibility Tools

Skip to main content

Kasih ibu tiada penghujung, pengorbanan diraikan setiap hari - Dato' Rohani

Oleh: Syamimi Manah

KOTA DARULNAIM, 10 Mei – Kasih sayang dan pengorbanan seorang ibu tidak pernah berpenghujung malah wajar dihargai setiap hari, bukan hanya sempena sambutan Hari Ibu semata-mata.

Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita YB Dato' Rohani Ibrahim berkata, ibu merupakan insan yang sentiasa berkorban demi keluarga tanpa mengenal penat lelah serta tidak pernah mengharapkan balasan.

Menurutnya, pengorbanan seorang ibu setiap hari tanpa cuti, tanpa gaji dan tanpa henti demi memastikan kebahagiaan anak-anak terus terpelihara.

“Hari Ibu bukan sehari. Ia berlaku setiap hari, tanpa cuti, tanpa gaji, tanpa henti.
Pada saat dunia tidur, ibu berjaga. Pada saat semua penat, ibu tetap kuat. Air mata disembunyi, senyuman diberi demi anak-anak,” katanya menerusi laman rasmi, hari ini.

Beliau berkata, kasih sayang seorang ibu menjadi kekuatan besar dalam kehidupan anak-anak sehingga ramai yang masih mampu menikmati kehidupan dengan penuh kasih dan perhatian hasil doa yang tidak pernah putus daripada seorang ibu.

“Kalau hari ini kita masih bernyawa dengan kasih, itu kerana ada seorang wanita yang tak pernah berhenti berdoa untuk kita. Hargai ibu hari ini. Esok belum tentu milik kita,” ujarnya.

Dalam pada itu, Dato' Rohani Ibrahim turut mendoakan agar setiap pengorbanan insan bergelar ibu dikurniakan ganjaran terbaik di sisi Allah SWT serta terus dimuliakan atas jasa dan kasih sayang yang dicurahkan kepada keluarga.

“Semoga Allah SWT memuliakan setiap pengorbanan seorang ibu dengan ganjaran syurga,” katanya.

Pautan berjaya disalin!