Accessibility Tools

Skip to main content

Kadar sukses rawatan TB di Kelantan cecah 94.6 peratus, atasi sasaran nasional

Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Media Exco

KOTA DARULNAIM, 10 Mei — Kelantan merekodkan kadar sukses rawatan tuberkulosis (TB) sebanyak 94.6 peratus pada tahun 2025, sekali gus melepasi sasaran ditetapkan iaitu 90 peratus, di samping mencatatkan penurunan tiga peratus kes tibi berbanding tahun sebelumnya.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah berkata, pencapaian tersebut membuktikan keberkesanan usaha berterusan sektor kesihatan negeri dalam pengesanan awal, rawatan serta pemantauan pesakit TB.

Menurutnya, sebanyak 999 kes tibi direkodkan di Kelantan sepanjang tahun lalu.

“Semua daerah mencapai sasaran kadar sukses rawatan tuberkulosis melebihi 90 peratus bagi tahun 2025.
Jumlah kematian akibat tibi di Kelantan pada tahun 2025 pula ialah 106 kes, menunjukkan penurunan sebanyak tujuh peratus berbanding tahun sebelumnya,” katanya menerusi media sosial, pada Khamis.

Terdahulu, beliau merasmikan Sambutan Hari Tibi Sedunia 2026 Peringkat Negeri Kelantan di Dataran Kemahkotaan, Machang.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, YB Hilmi Abdullah

Menurutnya, sambutan bertemakan “Yes! We Can End TB: Led by Countries. Powered by People” itu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai penyakit tuberkulosis sempena memperingati penemuan bakteria Mycobacterium tuberculosis oleh Dr Robert Koch.

Beliau berkata, penemuan tersebut menjadi titik penting dalam sejarah perubatan kerana membuktikan TB ialah penyakit berjangkit, bukannya berpunca daripada unsur mistik atau faktor keturunan.

“TB ialah antara penyakit berjangkit tertua dan paling berbahaya dalam sejarah manusia serta masih menjadi cabaran kesihatan dunia hingga kini,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa penyakit tersebut lazimnya menyerang paru-paru, namun boleh turut melibatkan organ lain seperti otak, tulang belakang, buah pinggang, usus, kulit dan kelenjar limfa.

Menurutnya, TB merebak melalui udara apabila pesakit TB paru-paru aktif batuk, bersin, bercakap atau meludah, dengan individu yang tinggal serumah, penghuni asrama, pekerja di ruang tertutup serta mereka yang mempunyai imuniti lemah berisiko tinggi dijangkiti.

Antara gejala utama penyakit itu ialah batuk melebihi dua minggu, kahak berdarah, demam terutama pada waktu petang atau malam, berpeluh pada waktu malam, penurunan berat badan, hilang selera makan serta cepat letih.

Beliau turut menegaskan bahawa TB tidak boleh disembuhkan melalui rawatan herba atau alternatif semata-mata.

“Rawatan utama TB ialah kombinasi antibiotik khas selama enam bulan atau lebih,” katanya.

Untuk rekod, Malaysia mencatat 26,672 kes baharu tibi pada tahun 2025 dengan kadar insiden 78 pesakit bagi setiap 100,000 penduduk.

Pautan berjaya disalin!