Accessibility Tools

Skip to main content

Kelantan teliti teknologi pusat data perkasa agenda digital negeri

Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Media Exco

KOTA DARULNAIM, 10 Mei – Kelantan meneliti teknologi pusat data dan infrastruktur digital moden dalam usaha memperkasa agenda digital negeri menerusi lawatan kerja ke TM Network Intelligence Centre (NIC) dan Klang Valley Data Centre (KVDC), Cyberjaya pada Jumaat.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato' Wan Roslan Wan Hamat berkata, lawatan tersebut memberi pendedahan berkaitan pengurusan rangkaian pintar, keselamatan data, sistem pemantauan operasi serta teknologi digital terkini yang menjadi pemacu utama pembangunan ekonomi digital negara.

Menurutnya, perkembangan pesat teknologi dan pengurusan data masa kini memerlukan negeri sentiasa bersedia untuk menyesuaikan diri dengan keperluan transformasi digital yang semakin berkembang.

“Lawatan ini membuka ruang kepada kerajaan negeri untuk memahami dengan lebih dekat pengoperasian pusat data dan sistem rangkaian pintar yang digunakan dalam pengurusan digital negara.

“Ia juga memberi nilai tambah kepada usaha memperkukuh agenda teknologi hijau, digital dan inovasi di Kelantan demi manfaat rakyat serta generasi masa hadapan,” katanya menerusi laman rasmi, pada Jumaat.

Dalam lawatan itu, delegasi Kerajaan Negeri turut menerima taklimat berkaitan operasi rangkaian, pengurusan pusat data dan infrastruktur digital TM yang disampaikan oleh Pengurus Besar TM One Ahmad Nazri Ambi.

Rombongan turut dibawa melawat pusat data serta beberapa fasiliti utama lain bagi meninjau sendiri sistem operasi dan teknologi yang digunakan termasuk aspek keselamatan siber serta pembangunan ekosistem digital negara.

Turut hadir, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Wan Zulfadhli Syahman Wan Yusof, Pengarah Yayasan Islam Kelantan (YIK) Shamsul Abu Bakar, Pengurus Besar Kelantan ICT Gateway Sdn. Bhd. Zainul Amin Mat Zin serta wakil Bahagian Teknologi Maklumat Negeri Kelantan.

Pautan berjaya disalin!