Hormati institusi diraja, elak polemik terbuka – Dato' Mohd Amar
Oleh: Syamimi Manah
KOTA DARULNAIM, 9 Mei – Speaker Dewan Negeri (DUN) Kelantan YB Dato' Sri Amar Diraja Dato' (Dr.) Mohd Amar Abdullah menegaskan setiap pihak perlu menangani perbezaan pandangan melibatkan institusi diraja dan kerajaan secara lebih beradab demi menjaga keharmonian negara.
Beliau berkata, Malaysia dibina atas kerangka Raja Berperlembagaan dan prinsip “Kesetiaan kepada Raja dan Negara” dalam Rukun Negara menjadi asas penting kepada kestabilan hubungan dalam kehidupan bernegara.
Menurutnya, setiap negeri sememangnya mahu diberikan perhatian yang saksama demi kemajuan negeri masing-masing, selaras dengan semangat sebuah negara Persekutuan.
“Adat diisi janji dilabuh, baru teguh sendi negeri.
Begitu juga dalam isu berkaitan kemaslahatan negeri. Saya percaya tidak ada mana-mana negeri Melayu Islam yang mahu dikenali sebagai hab industri babi berskala besar di rantau ini.
Perkara ini melibatkan identiti negeri dan sensitiviti masyarakat,” katanya menerusi laman rasmi, hari ini.
Beliau turut memberi contoh Singapura yang telah menamatkan sepenuhnya industri penternakan babi sejak tahun 1989 dan mendapatkan bekalan melalui import dari luar negara.
Dalam pada itu, beliau melahirkan kebimbangan apabila pandangan institusi diraja mula diperdebatkan secara terbuka sehingga memerlukan kenyataan susulan bagi memperjelaskan pendirian.
Tambahnya, budaya sedemikian tidak wajar dibiarkan dalam negara yang meletakkan institusi diraja sebagai payung perpaduan rakyat.
“Perbezaan pandangan sepatutnya diurus dengan penuh hikmah, bukan dijadikan polemik awam.
“Tegak rumah kerana sendi, rosak sendi rumah binasa,” jelasnya.
Dato' Mohd Amar berharap semua pihak memberi perhatian serius terhadap perkara tersebut dan mengelakkan budaya menjawab secara terbuka terhadap pandangan institusi diraja daripada terus dinormalisasikan.
“Jika budaya menjawab secara terbuka terhadap pandangan institusi diraja terus dinormalisasikan, saya bimbang semangat menghormati institusi diraja akan semakin terhakis dalam jiwa masyarakat,” ujarnya.








