Institusi pondok tiang seri kekuatan ummah – Exco Agama
Oleh: Asri Hamat
PASIR MAS, 7 Mei - Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud menyifatkan institusi pondok sebagai antara tunjang utama dan tiang seri dalam sesebuah negeri kerana peranannya dalam membentuk kekuatan ummah serta memperkukuhkan pengajian agama Islam.
Beliau menegaskan, kewujudan pondok perlu terus diperkasakan kerana institusi itu mempunyai keistimewaan tersendiri dalam melahirkan masyarakat berilmu agama.
Katanya, Kelantan sehingga kini masih mempunyai banyak institusi pondok, begitu juga di Kedah dan Terengganu, berbanding beberapa negeri lain yang semakin berkurangan institusi berkenaan.
“Pondok menjadi antara tunjang dan tiang seri dalam sesebuah negeri.
Jadi kerajaan negeri ingin memperkukuhkan pondok yang ada dan pembinaan pondok baharu amat dialu-alukan kerana pondok merupakan kekuatan kepada ummah".
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Ziarah Mahabbah Pondok 2026 anjuran Yayasan Amanah Tok Kenali (YTK) di Pondok Hidayah Bamboo Rajawali, Kampung Pangkal Kala, di sini hari ini.
Tambah YB Mohd Asri, antara tokoh ulama yang memberi penekanan terhadap institusi pondok ialah Tok Kenali yang membuka pondok serta menggalakkan anak muridnya menubuhkan pondok selepas tamat pengajian.
Menurutnya lagi, anak murid Tok Kenali bukan sahaja datang dari Kelantan, bahkan dari Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Thailand dan Kemboja.
Beliau turut berkongsi kisah ketika mantan Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Nik Mahmud bertanyakan kepada Tok Kenali mengenai cara untuk memajukan negeri Kelantan.
“Tok Kenali menjawab dengan meminta supaya dibuka sekolah agama dan pondok. Selepas itu, Dato’ Nik Mahmud mengarahkan supaya setiap jajahan mempunyai sekolah agama dan pondok,” jelasnya.
Tambahnya, perkembangan sekolah agama dan pondok turut memberi kesan kepada ekonomi setempat apabila wujud kedai runcit dan pelbagai perniagaan kecil di kawasan sekitar.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa sistem pengajian turath atau kitab-kitab lama perlu dikekalkan walaupun pondok kini mengalami perubahan mengikut peredaran zaman.
"Walaupun sekarang ini sudah wujud pondok moden yang mengikut peredaran zaman, namun pengajian thurath, kitab kuning, bahasa Arab, nahu dan soraf tidak boleh ditinggalkan kerana ia menjadi keaslian institusi pondok," katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa keberkatan yang ada di pondok ialah guru dan pelajar tinggal bersama. Mereka boleh berinteraksi secara dekat dan keaslian ini mesti dikekalkan.
Mengulas lanjut mengenai program Ziarah Mahabbah Pondok 2026, YB Mohd Asri berkata program itu bertujuan mempererat hubungan antara pimpinan kerajaan negeri, pentadbir pondok, guru dan pelajar.
Katanya, program berkenaan merupakan agenda kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar Kelantan, YAB Dato' Panglima Perang, Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud.
Sementara itu, Ahli Dewan Negeri (ADN) Tendong YB Rozi Mohamad dalam ucapan alu-aluannya berkata, program berkenaan mencerminkan perhatian kerajaan negeri terhadap institusi yang menjadi sumber perkembangan ilmu agama.
Beliau berkata, dasar “Membangun Bersama Islam” yang dibawa kerajaan negeri diterapkan dalam setiap aktiviti dan program yang dirancang.
“Pondok antara institusi penting yang berperanan menjelaskan kepada masyarakat mengenai dasar kerajaan negeri yang dipandu oleh agama,” katanya.
Dalam program itu juga, YB Mohd Asri menyerahkan sumbangan kepada mudir pondok tersebut Tuan Guru Mohd Nor Ismail untuk kegunaan pengurusan pondok tersebut.
Hadir sama, Pengarah YTK Zulqarnain Hasan.














