Accessibility Tools

Skip to main content

Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi, YB Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail


Imam, penternak perlu fahami pengurusan penyembelihan halal

Oleh: Irham Hilmi Hashim
Kredit foto: Media Exco

MACHANG, 7 Mei — Imam masjid dan penternak ruminan perlu memahami aspek pengurusan penyakit ternakan serta penyembelihan halal secara menyeluruh bagi menjamin keselamatan makanan dan kesihatan masyarakat.

Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, kefahaman berkaitan kedua-dua aspek tersebut penting dalam memastikan pengurusan bekalan makanan sentiasa mematuhi syariat dan piawaian kesihatan.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Kursus Asas Pengenalan Penyembelihan Halal dan Pengurusan Penyakit Ternakan kepada Imam Masjid Seluruh Negeri Kelantan dan Penternak Tahun 2026 di Dewan Majlis Daerah Machang, di sini, hari ini.

Menurutnya, pengurusan penyakit ternakan tidak boleh dipandang ringan kerana ia memberi kesan langsung terhadap keselamatan makanan serta kesejahteraan masyarakat.

“Peranan imam sebagai pemimpin masyarakat amat penting dalam menyampaikan ilmu dan memberi kefahaman kepada masyarakat setempat.
Begitu juga para penternak yang menjadi tulang belakang dalam memastikan bekalan makanan yang halal dan selamat,” jelasnya.

Beliau juga memaklumkan bahawa kursus tersebut menjadi platform penting dalam memperkukuh kefahaman peserta berkaitan penyembelihan halal dan pengurusan penyakit ternakan selaras dengan tuntutan syarak serta keperluan semasa industri agromakanan.

Dalam masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat menjayakan program berkenaan, khususnya Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan.

Tambahnya, kursus itu diharap dapat meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan kesedaran peserta sebelum diaplikasikan dalam komuniti masing-masing.

Turut hadir, Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Mohamed Fadzli Hassan, Pengarah Bahagian Pengurusan Sumber Manusia Mohd Hariff Ghazali, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan Yahasmida Yaacob dan Ketua Jajahan Machang Mohd Zamri Ibrahim.

Pautan berjaya disalin!