Accessibility Tools

Skip to main content

Timbalan Menteri Besar Kelantan, YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan


Halal, keselamatan makanan agenda serius kerajaan negeri - TMB Kelantan

Oleh: Irham Hilmi Hashim
Kredit foto: Media YB Dato’ Tuan

MACHANG, 7 Mei — Kerajaan Negeri Kelantan memberi penegasan serius terhadap kepentingan memperkukuhkan kefahaman berkaitan penyembelihan halal dan keselamatan makanan sebagai agenda penting dalam memastikan kesejahteraan masyarakat serta pematuhan terhadap tuntutan syarak terus dipelihara.

Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, isu halal dan keselamatan makanan adalah isu serius kerana melibatkan aspek hukum, kesihatan awam dan kebajikan haiwan.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kursus Asas Pengenalan Penyembelihan Halal dan Pengurusan Penyakit Ternakan di Dewan Majlis Daerah Machang, di sini, hari ini.

Menurutnya, kefahaman yang tepat berkaitan penyembelihan halal perlu diperkukuhkan agar setiap amalan yang dilaksanakan benar-benar menepati hukum syarak dan standard keselamatan makanan yang ditetapkan.

“Dalam masa yang sama, sektor penternakan memainkan peranan penting dalam menjamin bekalan makanan negara. Oleh itu, pengurusan ternakan dan penyakit ternakan yang sistematik serta berkesan amat diperlukan bagi memastikan kualiti hasil ternakan sentiasa terjamin.

“Saya melihat penglibatan para imam dalam kursus ini sebagai satu langkah yang sangat baik kerana mereka merupakan agen penyampai maklumat kepada masyarakat berkaitan halal dan kebajikan haiwan,” katanya.

Tambahnya, ilmu berkaitan penyembelihan halal amat penting terutama menjelang sambutan Aidiladha yang memerlukan masyarakat memahami kaedah penyembelihan yang betul, selamat dan menepati syariat Islam.

Menurutnya lagi, terdapat beberapa penyakit bawaan haiwan yang berpotensi menjangkiti manusia sekiranya proses penyembelihan tidak dilaksanakan dengan cara yang betul dan selamat.

“Perkara ini perlu diberi perhatian serius kerana ia bukan sahaja melibatkan kesihatan individu, malah turut memberi kesan kepada keselamatan awam secara keseluruhannya.

“Sehubungan itu, masyarakat hendaklah sentiasa mematuhi peraturan yang telah ditetapkan termasuk mendapatkan permit sembelih daripada Pejabat Perkhidmatan Veterinar Jajahan atau pihak penggawa sebelum sesuatu ternakan disembelih,” jelasnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa Sijil Kesihatan Veterinar yang dikeluarkan oleh jabatan berkaitan menjadi bukti bahawa ternakan berada dalam keadaan sihat dan selamat untuk dimakan.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata kerajaan negeri sentiasa komited memperkukuhkan sektor penternakan serta memastikan aspek halal terus dipelihara dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Turut dinyatakan ialah perancangan untuk menyediakan Rumah Sembelih Swasta di setiap jajahan akan terus diteliti sebagai langkah strategik ke arah memperkemaskan sistem penyembelihan, meningkatkan kecekapan operasi serta menjamin pematuhan kepada piawaian halal yang ditetapkan.

Pautan berjaya disalin!