Accessibility Tools

Skip to main content

Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar, YB Dato' Dr Izani Husin


LRA Kelar 2 siap 39 peratus, mampu tampung 25 jlh di Pasir Mas dan Rantau Panjang

Oleh: Syamimi Manah

PASIR MAS, 7 Mei – Pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Kelar 2 yang kini mencapai kemajuan lebih 39 peratus dijangka mampu menampung tambahan bekalan sebanyak 25 juta liter air sehari (jlh) bagi memenuhi keperluan pengguna di Pasir Mas dan Rantau Panjang menjelang Mac 2027.

Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar YB Dato' Dr Izani Husin berkata, projek itu bakal menjadi penyelesaian penting kepada isu kekurangan bekalan air yang masih dihadapi di beberapa kawasan berkenaan.

Menurutnya, Pasir Mas ketika ini menerima bekalan sebanyak 75 juta liter sehari melalui LRA Kelar 1, namun masih memerlukan tambahan sekitar 15 juta liter sehari bagi memenuhi permintaan semasa.

“Dengan siapnya LRA Kelar 2 yang berkapasiti 25 juta liter sehari, ia bukan sahaja mampu menampung keseluruhan keperluan Pasir Mas, malah masih mempunyai lebihan kapasiti lebih 10 juta liter sehari.

“Lebihan itu juga boleh disalurkan ke kawasan Rantau Panjang termasuk Halal Hub, Komples ICQS, Penjara dan kawasan Lubok Jong khususnya di DUN Ampang Putra yang memerlukan kira-kira tiga juta liter air sehari,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Loji Rawatan Air Kelar 2 bersama timbalannya, YB Saizol Ismail dan Pengurus Besar AKSB Azhar Hanafi, di sini, hari ini.

Sementara itu Pengurus Kanan Pelaksanaan Projek Majlis Pembangunan Ekonomi Wilayah Pantai Timur (ECERDC) Hafadz Kamizi Mat Hassan memaklumkan projek milik Air Kelantan Sdn Bhd itu dijangka siap sepenuhnya pada 3 Mac 2027.

Katanya, pihak kontraktor turut memberi jaminan kerja pembinaan dapat disiapkan lebih awal sekitar Januari 2027 sebelum melalui proses ujian sistem, kuantiti dan kualiti air selama kira-kira dua bulan sebelum diserahkan kepada AKSB untuk operasi penuh.

Menurut Dato' Dr Izani, air terawat daripada LRA Kelar 2 akan disalurkan ke tangki air terawat LRA Kelar 1 melalui jajaran paip berdiameter 700 milimeter sebelum diagihkan ke seluruh kawasan Pasir Mas dan Rantau Panjang.

“Saya melihat progres pembinaan berjalan dengan baik dan setakat ini tidak berlaku kelewatan.

“Kita berharap apabila siap nanti, bukan sahaja masalah bekalan air dapat diatasi malah permohonan akaun baharu juga boleh dibuka kerana kapasiti air sudah mencukupi,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata kerajaan negeri melalui AKSB kini memberi fokus kepada usaha menurunkan kadar Non-Revenue Water (NRW) atau Air Tidak Terhasil yang masih berada sekitar 55 peratus.

Katanya, usaha itu melibatkan pemantauan lebih agresif terhadap kebocoran paip serta tindakan pembaikan segera bagi mengurangkan kehilangan air terawat.

“Menjelang 2030, kita jangka semua loji air di Kelantan mampu menghasilkan sekitar 830 hingga 850 juta liter air sehari dan liputan bekalan air boleh meningkat melebihi 90 peratus,” jelasnya.

Pautan berjaya disalin!