Accessibility Tools

Skip to main content

Kalendar Acara Kelantan 2026 kembali dengan tema “Indahnya Kelantan”

Oleh: Syamimi Manah

KOTA DARULNAIM, 6 Mei – Kalendar acara Kelantan (Calendar of Event Kelantan) 2026 kembali dengan tema “Indahnya Kelantan” bagi menghimpunkan pelbagai acara menarik sepanjang tahun yang merangkumi sektor pelancongan, kebudayaan, kesenian, warisan serta komuniti.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan YB Datuk Kamarudin Md Nor berkata, setiap program yang dirangka bertujuan menonjolkan keunikan Kelantan di samping memberikan pengalaman berbeza kepada pengunjung dari dalam dan luar negara.

Menurutnya, penganjuran kalendar acara itu bukan sahaja memperkukuh identiti negeri sebagai destinasi pelancongan berteraskan budaya, malah menjadi platform untuk merancakkan ekonomi setempat melalui penglibatan komuniti.

“Daripada Kota Bharu sebagai nadi budaya, keindahan pantai di Tumpat, Bachok dan Pasir Puteh, kehijauan alam semula jadi di Jeli, Gua Musang dan Kuala Krai.

Pesona tradisi di Pasir Mas, Tanah Merah dan Machang, serta pembangunan komuniti dan rekreasi di Rantau Panjang dan kawasan sekitarnya—semuanya menawarkan tarikan tersendiri yang memikat hati pelancong,” katanya menerusi laman rasmi, hari ini.

Beliau turut mempersilakan orang ramai untuk bersama-sama memeriahkan “Indahnya Kelantan 2026” dengan menerokai keindahan negeri yang kaya dengan seni, budaya, makanan tradisional serta terkenal dengan keramahan rakyatnya.

“Kelantan menanti anda dengan pengalaman yang tidak dapat dilupakan,” ujarnya.

Antara program pelancongan yang bakal memeriahkan Calendar of Event Kelantan 2026 termasuk Pesta Makanan @ Sedap Sengoti yang menampilkan kepelbagaian juadah tradisional negeri, Pesta Wau Antarabangsa 2026 sebagai acara ikonik yang menarik penyertaan dari dalam dan luar negara, serta Luncur Perahu di Danau To’ Uban yang mengetengahkan keunikan sukan air tradisional.

Selain itu, Kelantan Art and Culture Festival turut dianjurkan bagi menghimpunkan penggiat seni tempatan dan antarabangsa, manakala Himpunan Seni dan Budaya Kelantan menjadi platform memperkukuh warisan seni serta identiti budaya negeri.

Pautan berjaya disalin!