Accessibility Tools

Skip to main content

Pelajar dinasihat patuhi arahan universiti, utamakan keselamatan

Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM, 6 Mei – Para pelajar dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi arahan yang ditetapkan oleh pihak pentadbiran universiti atau institusi masing-masing, demi memastikan keselamatan diri sentiasa terjamin.

Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato' Dr Mohamed Fadzli Dato' Hassan berkata, pelajar perlu mengutamakan keselamatan dalam setiap keadaan dan mengelakkan daripada terlibat dalam situasi yang boleh mendatangkan risiko.

“Kita nasihatkan kepada anak-anak yang belajar supaya sentiasa ikut arahan daripada pihak universiti ataupun institusi, dan pastikan supaya kita sentiasa berada dalam keadaan selamat,” katanya kepada media selepas mesyuarat Exco, di Mabna Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan, hari ini.

Beliau turut menegaskan agar pelajar mengurangkan aktiviti keluar, khususnya dalam masa dan situasi yang tidak sesuai.

“Kalau boleh, tidak keluar terutamanya keluar dengan yang bukan mahram. Bukan sahaja haram di sisi agama tetapi juga boleh menimbulkan perkara-perkara yang tidak diingini sebagaimana yang telah berlaku baru-baru ini,” pesannya.

Mengulas kejadian yang menimpa pelajar KPTM Kota Bharu baru-baru ini, beliau menyerah kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan bagi mengenal pasti kejadian sebenar serta mengambil tindakan yang sewajarnya.

“Kita minta pihak berkuasa untuk menyiasat apa sebenarnya berlaku dan mengambil tindakan yang sewajarnya,” jelasnya.

Menurutnya lagi, kerajaan negeri turut menzahirkan rasa simpati terhadap keluarga mangsa yang terlibat dalam kejadian tersebut.

Pautan berjaya disalin!