Accessibility Tools

Skip to main content

17 pesakit kronik DUN Gaal terima bantuan kerajaan negeri

Oleh: Irham Hilmi Hashim
Kredit foto: Media PKD Gaal

PASIR PUTEH, 6 Mei – Sebanyak 17 pesakit kronik di DUN Gaal menerima bantuan menerusi Majlis Penyampaian Bantuan Pesakit Kronik Fasa 1 sebagai usaha meringankan beban kos rawatan dan penjagaan golongan berdepan masalah kesihatan berpanjangan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Gaal YB Mohd Rodzi Jaa’far berkata, penerima bantuan melibatkan pesakit kanser, darah tinggi, leukemia dan penyakit buah pinggang kronik.

Menurutnya, inisiatif kerajaan negeri itu mencerminkan keprihatinan terhadap kebajikan rakyat khususnya pesakit yang memerlukan sokongan berterusan termasuk daripada ahli keluarga.

“Penyampaian Bantuan Pesakit Kronik ini merupakan salah satu inisiatif kerajaan negeri untuk meringankan beban pesakit khususnya kepada ahli keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Sumbangan Kerajaan Negeri Kelantan di Dewan Sri Gaal, Pusat Khidmat DUN Gaal, di sini, hari ini.

Dalam majlis sama, sejumlah 38 petugas dan sukarelawan DUN Gaal turut menerima penghargaan sempena sambutan hari lahir bagi bulan Januari hingga April 2026.

Penerima terdiri daripada wakil petugas dan sukarelawan dari 20 mukim di kawasan DUN berkenaan.

YB Mohd Rodzi memaklumkan bahawa penghargaan tersebut adalah tanda terima kasih kepada petugas dan sukarelawan yang memainkan peranan penting membantu kerajaan menyelesaikan isu rakyat di peringkat akar umbi.

“Sambutan dan penyampaian sumbangan hari lahir ini sebagai penghargaan kepada petugas dan sukarelawan di setiap mukim yang menjadi mata dan telinga kerajaan dalam menyelesaikan permasalahan rakyat,” jelasnya.

Pautan berjaya disalin!