Polis disaran buka semula siasatan dokumen asal tanah Gua Musang - YB Hilmi
Oleh: Norzana Razaly
KOTA DARULNAIM, 6 Mei – Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah menyaran pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka semula fail siasatan berkaitan dakwaan pemberian tanah di Bandar Gua Musang pada tahun 2018 dengan merujuk kepada dokumen asal hak milik tanah bagi memastikan fakta sahih diperoleh.
Beliau berkata, tindakan itu penting kerana dakwaan kononnya Kerajaan Negeri Kelantan menganugerahkan tanah berkenaan kepada syarikat bukan Melayu secara pegangan kekal pada tahun 2018 adalah tidak tepat dan bercanggah dengan rekod sebenar pemilikan tanah tersebut.
“Namun begitu, kita akan meneliti semula tindakan susulan termasuk dari sudut perundangan terhadap pihak yang menyebarkan maklumat tidak tepat.
“Kita juga berharap pihak polis dapat membuka semula fail dan melengkapkan kertas siasatan dengan merujuk kepada dokumen asal hak milik supaya fakta sebenar dapat diperjelaskan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, rekod Pejabat Tanah dan Galian Kelantan menunjukkan tanah terbabit sebenarnya telah diberi milik seawal 21 Januari 1930 kepada Duff Development Company Limited ketika era pentadbiran British, sebelum penguatkuasaan Enakmen Rizab Melayu 1930.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa hak milik tersebut kemudiannya disambung pada tahun 1938 sebelum melalui beberapa proses pindah milik termasuk kepada Kiat Sing Realty Development pada 1964 serta beberapa transaksi lain selepas itu tanpa penglibatan kerajaan negeri dalam urusan jual beli berkenaan.
“Tanah tersebut telah melalui proses pecah sempadan dan pembangunan melibatkan kawasan perumahan, rumah kedai dan kemudahan awam sejak sekian lama,” jelasnya.
Menurutnya, pembangunan di kawasan berkenaan turut memberi manfaat kepada rakyat termasuk pembinaan Masjid Buluh, Muse Ecopark, tapak tahfiz sains seluas 15 ekar, tapak sekolah rendah, masjid, surau, taman rekreasi serta 600 unit rumah kos rendah bernilai RM45,000.
Dalam masa sama, beliau menegaskan kerajaan negeri sentiasa memastikan pembangunan tanah milik bukan Melayu memberi pulangan terbaik kepada masyarakat setempat khususnya dalam memperkukuh semula pemilikan dan manfaat kepada orang Melayu.
“Kita mengalu-alukan pelaburan daripada mana-mana pihak, tetapi mestilah mematuhi dasar negeri dan memberi manfaat kepada rakyat,” ujarnya.
Sebelum ini, Ketua Penerangan Pemuda Umno Jeli Wan Mahussin Wan Zain mendakwa kerajaan negeri mengurniakan tanah di Bandar Gua Musang kepada sebuah syarikat dengan pegangan selama-lamanya pada tahun 2018.
Bagaimanapun, semakan rekod mendapati status pegangan kekal tanah berkenaan telah wujud sejak pemilikan asal pada tahun 1930 dan semua proses pindah milik serta pembangunan dibuat mengikut peruntukan undang-undang tanah yang berkuat kuasa.








