MPKB-BRI, MOTAC bincang serlahkan identiti Kota Bharu bandar budaya
Oleh: Irham Hilmi Hashim
KOTA BHARU, 6 Mei – Majlis Perbandaran Kota Bharu–Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) Negeri Kelantan membincangkan langkah memperkukuh identiti Kota Bharu sebagai destinasi pelancongan berteraskan budaya, warisan dan nilai Islam bagi meningkatkan daya tarikan sektor pelancongan bandar itu.
Perbincangan tersebut berlangsung menerusi kunjungan hormat delegasi MPKB-BRI ke Pejabat MOTAC Negeri Kelantan sebagai usaha memperkemas hala tuju pembangunan pelancongan bandar menjelang tahun 2026, pada Isnin.
Delegasi berkenaan diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Perpaduan Kaum dan Pelancongan MPKB-BRI Hasbi Hussin, diiringi Ahli Majlis MPKB-BRI Hareetaran Raman serta beberapa pegawai kanan majlis.
Menurut Hasbi, fokus utama perbincangan tertumpu kepada strategi memperkasa identiti Kota Bharu sebagai bandar pelancongan yang menampilkan kekuatan budaya tempatan, warisan sejarah dan citra Bandar Raya Islam, di samping mengukuhkan produk pelancongan sedia ada agar lebih kompetitif serta relevan dengan kehendak pelancong semasa.
“MPKB-BRI memberi penekanan terhadap usaha memperkasa identiti Kota Bharu sebagai destinasi pelancongan yang berteraskan budaya, warisan dan nilai Islam, selain mengukuhkan produk pelancongan sedia ada agar lebih kompetitif dan menarik,” katanya menerusi media sosial MPKB-BRI.
Beliau berkata, usaha tersebut penting bagi memastikan Kota Bharu terus kekal berdaya saing sebagai destinasi pilihan pelancong domestik dan antarabangsa.
Menurutnya lagi, sesi perbincangan bersama MOTAC Negeri Kelantan turut membuka ruang pertukaran pandangan mengenai cabaran semasa industri pelancongan termasuk keperluan pendekatan baharu dalam merancakkan semula sektor berkenaan sejajar perubahan ekonomi dan trend pelancongan global.
Dalam masa sama, beliau menzahirkan penghargaan kepada MOTAC Negeri Kelantan atas kerjasama dan perkongsian pandangan strategik yang disifatkan mampu memperkukuh sinergi antara agensi dalam memajukan sektor pelancongan negeri.
Turut menyertai lawatan tersebut ialah Pengarah Pengurusan Korporat MPKB-BRI Izuddin Ab. Rashid, Penolong Pengarah Pembangunan Korporat Mohamad Sazwan Mohd Sakri dan Penolong Pegawai Tadbir Pembangunan Korporat Zulkifli Yaacob.














