Bengkel penulisan bantu tingkatkan kualiti karya dan keyakinan penulis
Oleh: Syamimi Manah
KOTA DARULNAIM, 6 Mei – Penganjuran Bengkel Penulisan Efektif Era Digital oleh Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) berjaya membantu meningkatkan kualiti karya di samping membina keyakinan dalam kalangan penulis, khususnya golongan baharu.
Bengkel bimbingan Mantan Pengarang Mingguan Malaysia Ku Seman Ku Hussain dan Pegawai Penyelidik Institut Pemikiran Tok Guru Dato' Bentara Setia (IPTG) itu dihadiri 87 peserta dan berlangsung di Dewan Teratai, Kompleks Kota Darulnaim, semalam.
Ahli Dewan Negara YB Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff berkata, bengkel tersebut memberikan input yang jelas dan praktikal kepada peserta yang ingin mendalami bidang penulisan.
Menurutnya, sebelum ini ramai penulis menghasilkan karya tanpa panduan yang tersusun, namun melalui bengkel berkenaan, mereka didedahkan dengan kaedah penulisan berfakta serta teknik mengolah fakta dalam bentuk penceritaan yang lebih menarik.
“Input yang diberikan sangat membantu, khususnya dalam memudahkan kita menulis secara lebih berfakta dan pada masa sama menghidupkan penulisan supaya mampu menarik minat serta emosi pembaca,” jelasnya.
Sementara itu, Pengurus Akademi, Pemasaran dan PKB Gold Atira Ludin menyifatkan bengkel tersebut sebagai platform penting untuk menambah baik mutu penulisan.
Pengurus Akademi, Pemasaran dan PKB Gold Atira Ludin
“Dengan input yang diterima, ia mampu meningkatkan kualiti penulisan saya dan memberi keyakinan untuk menghasilkan karya yang lebih baik,” ujarnya.
Bagi peserta lain, pelajar Ijazah Doktor Falsah (PhD) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai Nik Ihtisyam Nik Razi, 30, berkata, program itu amat membantu beliau dan telah lama dinantikan, apatah lagi barisan panel terdiri daripada mantan wartawan berpengalaman.
Beliau berkata, sesi interaksi bersama penceramah membuka ruang keyakinan untuk menghantar penulisan ke mana-mana media tanpa rasa rendah diri.
Nik Ihtisyam Nik Razi, 30
“Sebelum ini kita rasa seperti terlalu kecil dalam dunia penulisan, tetapi sebenarnya tiada halangan untuk kita berkarya dan menyampaikan idea kepada masyarakat,” katanya.
Tambahnya, pengalaman sebagai penulis termasuk penglibatan bersama Hamare Group menerusi buku Sahaja Aku Memilih Dia serta penulisan akademik mendorongnya untuk menterjemah idea ilmiah dalam bentuk yang lebih mudah difahami oleh masyarakat umum.
Dalam masa sama, beliau berharap lebih ramai anak muda diberi pendedahan dan dorongan untuk menyertai program seumpama itu pada masa hadapan.
Seorang lagi peserta, Nik Nur Humaira Nik Yusri, 26, berkata bengkel tersebut bukan sahaja meningkatkan kemahiran, malah membina rangkaian komuniti penulis.
Nik Nur Humaira Nik Yusri, 26
Beliau yang aktif menulis sejak di bangku sekolah dan pernah menghasilkan beberapa buku termasuk karya fiksyen serta buku gabungan motivasi, falsafah dan sastera kini menggunakan penulisan sebagai medium sokongan kepada perniagaan kitab Arab yang diusahakan.
“Program ini sangat membantu kerana ia memberi solusi kepada cabaran yang dihadapi oleh penulis selain membentuk ‘circle’ penulisan yang positif,” ujarnya.
Beliau turut menekankan kepentingan membaca sebagai asas utama dalam penulisan, selaras dengan pandangan Sasterawan Negara, A. Samad Said bahawa menulis tidak dapat dipisahkan daripada amalan membaca.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri atas usaha berterusan menganjurkan bengkel ilmu yang disifatkan sebagai pelaburan jangka panjang untuk pembangunan intelektual rakyat, khususnya golongan belia.


















