Accessibility Tools

Skip to main content

Pengurusan masjid di Kelantan sangat berbeza dengan tempat lain - Rozita Hassan

Oleh: Syamimi Manah

KOTA BHARU, 6 Mei – Pengurusan masjid di Kelantan disifatkan mempunyai keunikan tersendiri dan berbeza berbanding negeri lain, khususnya dari segi pengimarahan serta penglibatan masyarakat dalam aktiviti keilmuan.

Peserta Program Jaulah Al Farabi “Lawatan Kenali Kelantan” Rozita Hassan, 52, berkata, lawatan ke beberapa masjid di negeri ini memberi pendedahan jelas mengenai peranan masjid sebagai pusat ilmu yang aktif.

“Kita dapat lihat hampir setiap masjid ada kuliah selepas solat dan masyarakatnya aktif dengan aktiviti keilmuan.

Rozita Hassan, 52

“Pengurusan masjid di Kelantan jauh berbeza dengan tempat lain kerana sentiasa hidup dengan pengajian dan suasana Islamik,” katanya ketika ditemui pada Ahad lalu.

Program anjuran Sekolah Islam Al-Farabi, Klang, Selangor yang berlangsung pada 2 hingga 3 Mei itu menghimpunkan seramai 45 peserta dalam usaha mengenali budaya serta pengamalan Islam di Pantai Timur.

Pengarah program Siti Norathikah Shamsul Bahari berkata, pendekatan jaulah yang memfokuskan masjid sebagai lokasi utama memberi pengalaman berbeza kepada peserta.

Siti Norathikah Shamsul Bahari, 38

“Tujuan kami adalah untuk mencari tempat-tempat menarik dengan menekankan lawatan ke masjid. Di Terengganu kami melawat empat masjid dan di Kelantan juga empat masjid.

“Kita nak maklumkan kepada umum tentang keistimewaan negeri Pantai Timur, khususnya Kelantan yang boleh dijadikan contoh dari sudut Islamik,” katanya.

Antara masjid yang dilawati di Kelantan ialah Masjid Imanul Faizin, Melor, Masjid Ar-Rahman Kubang Batang, Tumpat, Masjid Jamek Muhammadi, Kota Bharu serta Masjid Kampung Laut, Tumpat.

Menurutnya, program tersebut turut menjadi medium untuk mengumpul dana bagi pembangunan sekolah di samping memberi pendedahan ilmu kepada peserta.

“Kita juga terbuka kepada penyertaan orang ramai. Tujuan jaulah ini adalah untuk menambah dana bagi membaik pulih serta pembangunan sekolah rendah dan menengah kami,” jelasnya.

Sementara itu, seorang lagi peserta Abu Bakar Kamari, 56, menyifatkan program berkenaan sebagai peluang mendekati warisan dan kekayaan ilmu di Kelantan.

Abu Bakar Kamari, 56

“Banyak perkara yang menarik seperti budaya, makanan dan juga sejarah ulama yang lahir dari negeri ini,” katanya.

Bagi Imam Masjid Nurul Amin, Klang Abdul Rahim Mohd Azhar, 26, lawatan tersebut turut memperlihatkan keharmonian masyarakat pelbagai kaum dalam suasana Islamik.

Abdul Rahim Mohd Azhar, 26

“Saya lihat masyarakat di sini hidup harmoni tanpa mengira kaum dan Islam menjadi asas dalam kehidupan seharian,” katanya.

Seorang lagi peserta An-Nur Hasanah Abu Bakar, 26, turut tertarik dengan identiti Islam yang jelas dalam kehidupan masyarakat setempat.

“Saya nampak kebanyakan wanita bertudung dan penggunaan tulisan jawi di premis perniagaan sangat meluas,” katanya.

An-Nur Hasanah Abu Bakar, 26

Pautan berjaya disalin!