Lata Janggut dinaik taraf berperingkat, lonjak ekonomi pelancongan Jeli
Oleh: Irham Hilmi Hashim
JELI, 6 Mei – Usaha menaik taraf kemudahan di Lata Janggut dijangka menjadi pemangkin utama kepada lonjakan ekonomi pelancongan di jajahan Jeli, sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi riadah berasaskan alam semula jadi yang berdaya saing di negeri ini.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan YB Datuk Kamarudin Md Nor berkata, kerja-kerja penambahbaikan akan dilaksanakan secara berperingkat dengan memberi keutamaan kepada aspek keselesaan, keselamatan serta peningkatan daya tarikan kawasan berkenaan.
Menurutnya, Lata Janggut memiliki potensi besar untuk terus dibangunkan sebagai produk pelancongan semula jadi yang mampu menarik kehadiran lebih ramai pengunjung domestik dan antarabangsa.
“Kerajaan Negeri komited untuk mencantikkan serta menaik taraf kemudahan sedia ada agar kawasan ini menjadi lebih selesa, selamat dan menarik kepada pengunjung,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan rondaan dan tinjauan di Lata Janggut bersama rombongan, di sini, Isnin lalu.
Tambahnya, lawatan tersebut bertujuan menilai keadaan semasa kawasan riadah berkenaan selain mengenal pasti keperluan penambahbaikan yang dapat dilaksanakan bagi mempertingkat pengalaman pelancong.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa pembangunan sektor pelancongan luar bandar seperti Lata Janggut berpotensi memberi limpahan ekonomi secara langsung kepada komuniti setempat, khususnya peniaga kecil dan penduduk sekitar.
“Apabila kemudahan ditambah baik dan jumlah pengunjung meningkat, ia secara tidak langsung membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada penduduk setempat,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau turut menekankan peranan penting pihak pengurusan dan komuniti setempat dalam memastikan kawasan tersebut kekal terpelihara, bersih dan terus menjadi tarikan utama pelancong.










