Kelantan catat lebih 7,000 pengusaha ruminan
Oleh: Irham Hilmi Hashim
Kredit foto: Media Exco
KOTA BHARU, 5 Mei — Kelantan merekodkan lebih 7,000 pengusaha ternakan ruminan melibatkan lembu, kerbau, kambing dan bebiri, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara penyumbang utama kepada industri ternakan negara.
Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia, negeri ini mempunyai 4,825 pengusaha lembu dan kerbau serta 2,973 pengusaha kambing dan bebiri.
Menurutnya, jumlah tersebut membuktikan tahap penglibatan tinggi rakyat dalam sektor ternakan, di samping memperlihatkan kekuatan asas industri di peringkat akar umbi.
“Data ini menjadi indikator penting kepada kekuatan sebenar industri ternakan di Kelantan. Dengan jumlah pengusaha yang besar, ia menunjukkan potensi luas untuk dimajukan secara lebih sistematik dan berdaya saing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Sesi Libat Urus Bancian Ternakan Ruminan Negeri Kelantan 2026 bagi Zon Pasir Puteh, Tumpat dan Machang di Dewan Serai Wangi, RTC FAMA, di sini, pada Isnin.
Mengulas lanjut, beliau berkata pelaksanaan Bancian Ternakan Ruminan Negeri Kelantan 2026 yang berlangsung dari April hingga 30 Jun merupakan langkah strategik bagi meningkatkan ketepatan data sektor agromakanan.
Menurutnya, bancian tersebut melibatkan 642 penghulu di seluruh negeri yang berperanan sebagai pembanci lapangan bagi memastikan data dikumpul secara menyeluruh, tepat dan berintegriti.
“Data yang lengkap dan terkini membolehkan perancangan pembangunan industri ternakan dilaksanakan secara lebih berfokus, termasuk dari aspek bantuan, pengurusan ladang serta kawalan penyakit ternakan,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan atas inisiatif penyelarasan teknikal bagi menjamin keseragaman dan ketepatan data bancian.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan Yahasmida Yaacob.














