Kunjungan pendidik Narathiwat kongsi pengalaman sistem pondok – YB Harun Ismail
-
05 November 2026
-
Oleh: Syamimi Manah
-
58
KOTA DARULNAIM, 5 November – Kunjungan delegasi Pejabat Pendidikan Swasta Wilayah Narathiwat, Thailand ke Kelantan membuka ruang perkongsian pengalaman dan pertukaran pandangan berkaitan sistem pengajian pondok serta pendidikan Islam antara kedua-dua wilayah.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Tawang YB Harun Ismail berkata, kunjungan berkenaan amat bermakna dalam usaha mengeratkan hubungan pendidikan dan kekeluargaan yang telah lama terjalin antara Kelantan dengan Narathiwat.
Katanya, Kelantan dan Narathiwat mempunyai hubungan rapat ibarat adik-beradik, justeru pertemuan seumpama itu dapat dimanfaatkan untuk mengenali pendekatan pendidikan yang dilaksanakan oleh kedua-dua pihak.
“Kelantan dan Narathiwat ini ibarat adik-beradik. Kita datang untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan dan sudah tentu berbesar hati menerima kunjungan pendidik dari Narathiwat.
“Di Kelantan, Yayasan Islam Kelantan (YIK) merupakan institusi pendidikan yang dikendalikan sepenuhnya oleh kerajaan negeri dengan 93 buah sekolah di bawah pengurusannya, selain institusi pendidikan yang dikendalikan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) serta pihak swasta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan mewakili Menteri Besar Kelantan pada Majlis Penerangan dan Kunjungan Hormat Delegasi Narathiwat di Mabna, Kota Darulnaim, semalam.
Delegasi 42 ahli itu diketuai Mudir Maahad Nahdhatul Ulumiddiniyyah (Chanya Islam School) Takbai narathiwat uan Guru Baba Abdul Basit Othman.
Sebelum menghadiri majlis berkenaan, delegasi terbabit terlebih dahulu mengadakan lawatan ke Pondok Moden, Kandis, Tok Bali dan Ladang Buah Tin di Pasir Puteh.
Rombongan turut mengadakan kunjungan ke Istana Mahkota bagi menghadiri jamuan makan tengah hari bersama Raja Perempuan Kelantan YMM Tengku Anis Almarhum Tengku Abdul Hamid.
Sementara itu, Ketua Rombongan Baba Abdul Basit berkata, kunjungan berkenaan merupakan kali ketiga beliau ke Kelantan selepas pernah mengadakan lawatan ke Pondok Moden di Bachok bagi tujuan pembelajaran serta Istana Mahkota.
Ketua Rombongan Baba Abdul Basit
“Ini kali ketiga saya datang ke Kelantan. Kali pertama kami pergi ke pondok moden di Bachok untuk belajar, manakala kali kedua kami berkunjung ke Istana Mahkota.
“Saya juga beberapa kali datang ke istana kerana setiap dua minggu saya pergi untuk membaca doa. Malah, ramai bekas pelajar saya kini bekerja di istana, antaranya sebagai tukang masak dan imam,” jelasnya.
Dalam pada itu, Pengarah Pejabat Pendidikan Swasta Wilayah Narathiwat Rusman Niheng berkata, kunjungan berkenaan bertujuan mengeratkan ukhuwah serta membuka peluang kepada kedua-dua pihak bertukar-tukar pandangan berkaitan pengajian dan pendidikan.
Pengarah Pejabat Pendidikan Swasta Wilayah Narathiwat Rusman Niheng
Menurutnya, wilayah Narathiwat mempunyai 101 sekolah swasta, 67 pondok dan 651 tadika, dengan kira-kira 70 peratus murid di wilayah berkenaan mengikuti pendidikan di sekolah swasta.
“Kami datang untuk menjalinkan hubungan silaturahim antara satu sama lain dan ingin bertukar-tukar fikiran dari segi pengajian.
“Saya mewakili pejabat dan sekolah-sekolah di Narathiwat ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan serta berasa amat gembira dengan sambutan yang diberikan sepanjang kunjungan ini,” ujarnya.
Beliau turut melahirkan rasa bangga kerana berpeluang bertemu Raja Perempuan Kelantan YMM Tengku Anis Almarhum Tengku Abdul Hamid yang menurutnya mempunyai hubungan leluhur dengan Thailand.
















