Kelantan bantu premis makanan miliki sijil halal JAKIM
-
04 November 2026
-
Oleh: Asri Hamat
-
31
KOTA DARULNAIM, 4 November - Kerajaan Negeri Kelantan terus mempergiat usaha meningkatkan kesedaran dan membantu pengusaha premis makanan di negeri ini mendapatkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud berkata pelbagai program pemantapan dan kesedaran halal dilaksanakan bagi menggalakkan lebih ramai usahawan mendapatkan pensijilan berkenaan.
Katanya, antara inisiatif dilaksanakan ialah Dialog Pembangunan Halal Negeri yang diadakan pada April lalu dengan penyertaan wakil ahli perniagaan dari Kelantan dan luar negeri.
"Program itu memberi peluang kepada peserta mendengar taklimat serta mengemukakan pandangan berkaitan pembangunan industri halal.
"Selain itu, bengkel penerangan mengenai pensijilan halal termasuk kotej halal turut dilaksanakan secara berfasa di semua jajahan."
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Tawang YB Harun Ismail pada Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) bagi Tempoh Penggal Ketiga Dewan Negeri Kelantan Yang Ke-15, hari ini.
YB Harun bertanyakan tentang langkah-langkah yang diambil oleh Kerajaan Negeri Kelantan untuk memastikan premis-premis makanan di seluruh negeri Kelantan terutama dibandar-bandar untuk mendapatkan pensijilan halal.
YB Mohd Asri juga memaklumkan, bengkel berkenaan diadakan di Kuala Krai pada 6 Mei, Bachok (20 Mei), Machang (25 Mei), Gua Musang (10 Jun) serta Pasir Mas pada 8 Julai dan 12 Ogos.
Menurutnya lagi, kerajaan negeri berbangga kerana semakin ramai rakyat dan usahawan menunjukkan kesedaran serta berminat mendapatkan SPHM.
Tambahnya, antara kejayaan terbaharu ialah pengusaha Pau Saifuddin yang berjaya memperoleh sijil halal pada permohonan kali ketiga selepas menaik taraf dapur dan kemudahan lain di kilang baharunya di kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa.
"Pada bulan lalu, saya sendiri berkesempatan menyerahkan sijil halal kepada pengusaha berkenaan.
"Beliau sebelum ini gagal dalam dua permohonan terdahulu, namun berjaya memperoleh kelulusan pada permohonan ketiga selepas melakukan penambahbaikan terhadap dapur dan kemudahan kilangnya," katanya.
Dalam pada itu, kerajaan negeri turut menyediakan potongan sebanyak 75 peratus bagi yuran permohonan SPHM, sekali gus membolehkan pemohon hanya membayar RM50 berbanding RM200.
Kata YB Mohd Asri lagi, kerajaan negeri juga sedang memikirkan inisiatif lain bagi menggalakkan lebih ramai usahawan di Kelantan mendapatkan pensijilan halal pada masa hadapan.
Menjawab soalan tambahan daripada ADN sama berhubung jumlah premis yang memperoleh SPHM, YB Mohd Asri berkata, sehingga Oktober 2026, sebanyak 443 premis dan pengusaha dalam pelbagai kategori telah memperoleh sijil berkenaan.
Daripada jumlah itu, sebanyak 56 premis bukan Islam turut memiliki SPHM, menunjukkan kesedaran terhadap kepentingan pensijilan halal semakin meningkat dalam kalangan pengusaha tanpa mengira latar belakang.
Beliau berkata, sebanyak 291 sijil diberikan kepada produk berasaskan makanan dan minuman, manakala 15 dapur hotel turut memperoleh pensijilan berkenaan.
Antara hotel yang memiliki SPHM ialah Hotel Renai, Grand River View (GRV), Hotel Perdana dan Crown Garden.
Selain itu, sebanyak 74 premis makanan, lapan farmasi, 12 produk kosmetik, lapan rumah sembelihan dan 35 pengilang turut memperoleh SPHM.








