Fasiliti SUKMA Kelantan 2028 ikut spesifikasi, piawaian pertandingan
-
04 November 2026
-
Oleh: Asri Hamat
-
31
KOTA DARULNAIM, 4 November - Kerajaan Kelantan memastikan setiap kemudahan dan fasiliti sukan yang dibangunkan bagi persiapan penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2028 memenuhi spesifikasi serta piawaian pertandingan yang ditetapkan.
Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhamad berkata perkara itu dilaksanakan menerusi penggunaan Dokumen Keperluan Pelanggan atau Client's Brief of Requirement (CBOR) yang menjadi panduan dalam menentukan skop kerja bersama Jabatan Kerja Raya (JKR).
Katanya, Sekretariat SUKMA di bawah Timbalan Setiausaha Kerajaan (TSUK) dan Majlis Sukan Negeri (MSN) Kelantan turut menjalinkan kerjasama dengan Majlis Sukan Negara (MSN), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta persatuan sukan kebangsaan bagi mendapatkan khidmat nasihat teknikal dan kepakaran berkaitan spesifikasi gelanggang pertandingan.
"Kerjasama ini bertujuan memastikan setiap kontraktor yang dilantik melaksanakan kerja pembinaan, pengubahsuaian dan naik taraf fasiliti berdasarkan spesifikasi teknikal yang ditetapkan badan sukan kebangsaan serta antarabangsa yang berkaitan.
"Setiap gelanggang juga akan melalui pemeriksaan dan pengesahan teknikal daripada persatuan sukan kebangsaan sebelum digunakan untuk pertandingan SUKMA nanti."
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negeri (ADN) Wakaf Bharu, YB Mohd Rusli Abdullah, pada Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) bagi Tempoh Penggal Ketiga Dewan Negeri Kelantan Yang Ke-15, hari ini.
YB Mohd Rusli meminta penjelasan mengenai pendekatan kerajaan negeri bagi memastikan kemudahan sukan yang dibangunkan memenuhi keperluan pertandingan SUKMA serta bersesuaian dengan keperluan atlet dan penganjuran kejohanan.
Soalan asal dikemukakan oleh ADN Pulai Chondong YB Azhar Salleh yang bertanyakan tentang status dan perkembangan pelaksanaan projek infrastruktur serta kemudahan sukan yang sedang di bangunkan untuk SUKMA 2028 nanti.
Menurut YB Zamakhshari, menerusi pendekatan berkenaan kerajaan negeri berharap semua gelanggang yang disediakan bukan sahaja memenuhi keperluan SUKMA Kelantan 2028, malah dapat dimanfaatkan sebagai pusat latihan dan pembangunan sukan negeri secara berterusan selepas temasya itu berakhir.
Beliau turut mengambil contoh Terengganu yang menunjukkan perkembangan dari segi pencapaian atlet selepas menjadi tuan rumah temasya berkenaan.
Tambahnya, kerajaan negeri berharap penyediaan fasiliti sukan yang lebih baik di Kelantan dapat membantu meningkatkan prestasi atlet negeri dan memberi impak positif terhadap pencapaian mereka dalam kejohanan akan datang selepas SUKMA 2028.








