Stesen ECRL Pasir Puteh pemangkin hub perindustrian baharu
-
04 November 2026
-
Oleh: Irham Hilmi Hashim
-
39
KOTA DARULNAIM, 4 November – Stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Pasir Puteh di Cherang Tuli bakal menjadi pemangkin pembangunan hab perindustrian dan logistik baharu di Kelantan menerusi perancangan kawasan industri bersepadu di sepanjang koridor projek berkenaan.
Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Mohamed Fadzli Hassan berkata, kedudukan strategik stesen itu yang berfungsi sebagai hab penumpang dan kargo membuka peluang kepada Pasir Puteh untuk muncul sebagai pusat pertumbuhan ekonomi baharu berteraskan industri pemprosesan, agroindustri dan aktiviti logistik.
Menurutnya, kerajaan negeri merancang pembangunan kawasan industri yang mempunyai akses langsung kepada kemudahan rel ECRL bagi mengoptimumkan potensi pengangkutan kargo serta meningkatkan daya saing industri tempatan.
“Perancangan ini memberi tumpuan kepada industri pemprosesan, industri makanan, agroindustri, pergudangan dan aktiviti nilai tambah bagi memastikan bahan mentah tempatan dari Pasir Puteh serta kawasan sekitarnya dapat diproses sebelum dipasarkan ke pasaran lebih luas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Limbongan, YB Nor Asilah Mohamed Zin pada Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Yang Ke-15 Tahun 2026, hari ini.
Dato’ Mohamed Fadzli menjelaskan, pembangunan kawasan industri di sepanjang koridor ECRL itu turut bertujuan menggalakkan aktiviti hiliran supaya bahan mentah tempatan dapat diproses menjadi produk bernilai tambah sebelum dipasarkan.
Tambahnya, kemudahan pengangkutan kargo ECRL dijangka meningkatkan kecekapan pergerakan bahan mentah dan pengedaran produk, sekali gus memperluas akses pasaran kepada pengusaha serta pemain industri tempatan.
Selain merancakkan aktiviti perindustrian, perancangan tersebut turut memberi penekanan kepada usaha menarik pelaburan baharu dan meningkatkan nilai keluaran tempatan melalui penggunaan infrastruktur pengangkutan rel yang lebih sistematik.
Beliau juga menegaskan, kerajaan negeri mahu memastikan pembangunan ECRL bukan sekadar menyediakan kemudahan pengangkutan penumpang dan barangan tetapi turut dimanfaatkan sebagai pemacu kegiatan ekonomi di kawasan sepanjang laluannya.








