Tok Bali dikenal pasti hab logistik utama Kelantan menerusi pelabuhan darat
-
04 November 2026
-
Oleh: Irham Hilmi Hashim
-
44
KOTA DARULNAIM, 4 November – Pasir Puteh dikenal pasti sebagai hab logistik utama Kelantan dan kawasan Terengganu Utara menerusi cadangan pembangunan pelabuhan darat (inland port) di Bandar Baru Tok Bali selari dengan pembangunan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Mohamed Fadzli Hassan berkata, pembangunan itu merupakan antara perancangan strategik kerajaan negeri untuk menghubungkan kemudahan pengangkutan rel dengan aktiviti perindustrian dan pengendalian kargo.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Limbongan YB Nor Asilah Mohamed Zin pada Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Yang Ke-15 Tahun 2026, hari ini.
Menurutnya, pembangunan hab logistik berkenaan memerlukan penyediaan infrastruktur sokongan termasuk rangkaian jalan raya, kawasan gudang, pusat pengumpulan dan pengedaran serta kemudahan logistik penghantaran akhir (last mile logistics).
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan kerajaan negeri telah mengambil langkah awal dengan membuat pengambilan tanah kira-kira dua ekar bagi pembukaan kiosk perniagaan sementara untuk penjaja dan usahawan tempatan berhampiran stesen ECRL.
Langkah itu dilaksanakan bagi menyediakan kemudahan perniagaan kepada masyarakat setempat seiring jangkaan operasi ECRL pada pertengahan Disember, sementara menunggu pembangunan fizikal jangka panjang dilaksanakan.
Selain itu, Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) pada 14 September 2026 telah mengemukakan permohonan rasmi pengambilan tanah bagi menaik taraf laluan FT482 sepanjang 13 kilometer di Tok Bali yang menghubungkan kawasan perindustrian dengan kawasan berhampiran stesen kargo ECRL dan cadangan pelabuhan darat.
Kerajaan negeri melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) turut mengangkat permohonan menaik taraf Jalan Negeri D161 di Cherang Tuli kepada Jalan Persekutuan serta menaik taraf laluan berkenaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bagi membolehkan pergerakan kenderaan berat termasuk lori dan treler kontena.
Perancangan menaik taraf laluan Banir Belikong hingga sempadan Kelantan-Terengganu di Bukit Yong serta pelebaran jalan kepada empat lorong turut diberi perhatian bagi memperkukuh hubungan antara kawasan perindustrian Tok Bali, Tok Bali Supply Base (TBSB) dan stesen ECRL Pasir Puteh.








