Accessibility Tools

Skip to main content

Usahawan PKS, anak tempatan diutamakan nikmati manfaat ECRL

  • 04 November 2026
  • Oleh: Irham Hilmi Hashim
  • 32

KOTA DARULNAIM, 4 November – Usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta anak tempatan diberi keutamaan dalam perancangan pembangunan ekonomi berasaskan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bagi memastikan manfaat projek itu dapat dinikmati masyarakat Pasir Puteh.

Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Mohamed Fadzli Hassan berkata, kerajaan negeri akan memperkukuh kerjasama strategik dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan agensi pembangunan usahawan bagi memperluas penyertaan pemain industri tempatan.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Limbongan YB Nor Asilah Mohamed Zin pada Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Yang Ke-15 Tahun 2026, hari ini.

Menurutnya, kerjasama berkenaan bertujuan membantu PKS tempatan meningkatkan kapasiti perniagaan, mendapatkan pensijilan, akses pembiayaan dan teknologi serta memperluas pasaran.

Usahawan tempatan juga berpeluang menyertai rantaian bekalan industri melalui pelbagai perkhidmatan termasuk pengangkutan, pembungkusan, penyimpanan, penyelenggaraan, katering, perkhidmatan sokongan dan pembekalan industri.

Dalam pada itu, kerajaan negeri turut memberi perhatian kepada penyediaan latihan kemahiran untuk anak tempatan Pasir Puteh supaya mereka berupaya mengisi jawatan teknikal dan berkemahiran tinggi dalam sektor berkaitan.

Jelasnya, bidang yang diberi tumpuan termasuk logistik, pengurusan gudang, penyelenggaraan, operasi rel dan pengurusan industri bagi memenuhi keperluan tenaga kerja apabila pembangunan ekonomi di kawasan berkenaan berkembang.

Pendekatan itu penting bagi memastikan peluang ekonomi hasil pembangunan ECRL tidak hanya dikuasai syarikat luar, sebaliknya turut membuka ruang kepada usahawan dan tenaga kerja tempatan untuk terlibat secara langsung.

Tambahnya, kerajaan negeri berharap operasi ECRL yang dijangka bermula pada pertengahan Disember dapat membawa limpahan ekonomi, pelaburan, peluang pekerjaan, pengembangan perniagaan serta peningkatan pendapatan rakyat Pasir Puteh.

Pautan berjaya disalin!