Accessibility Tools

Skip to main content

52 program pelancongan perkasa Kota Bharu sebagai kota budaya

  • 04 November 2026
  • Oleh: Syamimi Manah
  • 35

KOTA DARULNAIM, 4 November – Sebanyak 52 program pelancongan dilaksanakan di Kota Bharu sepanjang tahun 2026 berbanding 41 program pada tahun lalu sebagai usaha memperkukuh kedudukan bandar itu sebagai destinasi pelancongan berasaskan budaya, warisan dan gastronomi.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan YB Datuk Kamarudin Md Nor berkata, program berkenaan merangkumi pelbagai segmen termasuk aktiviti kebudayaan, pesta makanan dan wacana intelektual yang diadakan di beberapa lokasi sekitar Kota Bharu.

“Kerajaan Negeri Kelantan sentiasa komited untuk memperkukuh Kota Bharu sebagai destinasi pelancongan berasaskan nilai-nilai budaya, warisan, gastronomi dan juga identiti bandar Islam.

“Cara tumpuan utama ialah memperkasakan imej Kota Bharu sebagai kota budaya, memelihara tapak bersejarah, seni tempatan, permainan tradisional serta aspek kerajinan yang sangat menarik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Tendong YB Rozi Muhamad pada Persidangan Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Kelantan Kel-15 di sini, hari ini.

Menurutnya, kerajaan negeri turut memberi perhatian kepada pemeliharaan dan pembangunan industri batik serta kraftangan sebagai produk pelancongan yang mencerminkan identiti dan keunikan seni budaya Kelantan.

“Usaha mempromosikan perusahaan batik, hasil kraf tangan tempatan dan Kampung Kraftangan berpotensi memperluas ruang ekonomi pengusaha tempatan, di samping meningkatkan pengalaman pelancong melalui aktiviti mengenali proses penghasilan dan keunikan produk-produk warisan,” katanya.

Dalam aspek gastronomi, beliau berkata kerajaan negeri sedang berusaha ke arah pencalonan Kota Bharu sebagai Bandar Kreatif Gastronomi di bawah Rangkaian Bandar Kreatif UNESCO dengan mengangkat keunikan makanan warisan, masakan tradisional dan identiti kulinari Kelantan.

Tambahnya, usaha itu turut mengambil kira keunikan makanan tradisional Kelantan yang mempunyai nilai tersendiri dan dikenali di seluruh negara.

Selain itu, pembangunan pengalaman pelancongan berasaskan warisan dan teknologi turut diberikan perhatian selaras dengan hala tuju Blueprint Bandar Pintar Negeri Kelantan 2040.

“Pendigitalan warisan dan kebudayaan turut diberikan perhatian melalui pembangunan laluan warisan, seni jalanan dan alur cerita digital.

“Pendekatan ini berpotensi membantu pelancong mengakses maklumat sejarah dan budaya secara lebih interaktif, sekali gus meningkatkan daya tarikan kawasan warisan bandar,” jelasnya.

Beliau juga memaklumkan, tarikan seperti muzium, galeri lukisan, Pasar Siti Khadijah, Masjid Muhammadi dan kawasan bandar lama berpotensi dihubungkan melalui laluan pelancongan yang lebih tersusun.

Menurutnya, usaha itu boleh disokong dengan menambah baik kemudahan, pengindahan landskap, kebersihan serta aksesibiliti bagi mewujudkan persekitaran bandar yang selesa dan menarik untuk diterokai.

Dalam aspek ketersambungan pula, kerajaan negeri turut berusaha memperkukuh akses udara melalui Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), termasuk meneroka potensi pembukaan laluan penerbangan terus ke destinasi domestik dan antarabangsa.

Katanya lagi, pendekatan berkenaan bertujuan menjadikan Kota Bharu bukan sekadar pusat pentadbiran dan perdagangan, tetapi sebuah destinasi pelancongan bandar yang menawarkan pengalaman budaya, warisan, gastronomi, batik, kraftangan dan identiti Islam.

“Secara keseluruhannya, pendekatan ini bertujuan menjadikan Kota Bharu bukan sekadar pusat pentadbiran dan perdagangan sahaja, tetapi sebuah destinasi pelancongan bandar yang menawarkan pengalaman budaya, warisan, gastronomi, batik, kraf tangan dan identiti Islam.

“Kerajaan negeri berharap usaha bersama ini dapat meningkatkan tempoh penginapan dan perlanjutan pelancong, di samping merancakkan ekonomi serta membuka lebih banyak peluang kepada pengusaha dan pemilik tempatan,” ujarnya.

Pautan berjaya disalin!