Accessibility Tools

Skip to main content

Penerbangan Jakarta-Kota Bharu bawa 9,985 pengunjung, jana RM7.48 juta – Datuk Kamarudin

  • 04 November 2026
  • Oleh: Syamimi Manah
  • 58

KOTA DARULNAIM, 4 November – Setakat Oktober 2026, sebanyak 9,985 pengunjung dari Jakarta tiba di Kota Bharu menerusi penerbangan terus Jakarta-Kota Bharu sejak laluan berkenaan beroperasi pada Jun lalu, sekali gus menjana nilai ekonomi sebanyak RM7.48 juta dalam tempoh lima bulan.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan YB Datuk Kamarudin Md Nor berkata, formula pengiraan itu berdasarkan rekod MOTAC dan perkembangan itu menunjukkan penerbangan terus berkenaan membuka peluang lebih luas untuk mempromosikan Kelantan sebagai destinasi pelancongan kepada pasaran Indonesia.

Menurutnya, purata muatan penumpang bagi laluan berkenaan mencatatkan 71.87 peratus, melebihi kadar 55 peratus yang diperlukan bagi memastikan daya maju operasi penerbangan.

“Untuk tempoh bulan Jun, jumlah penumpang ataupun jumlah pengunjung ke Kota Bharu dari Jakarta ialah seramai 1,361 orang.

“Bulan Julai seramai 2,317 orang, Ogos 2,442 orang, September 2,124 orang dan Oktober sehingga 20 hari bulan ialah seramai 1,741 orang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Tendong YB Rozi Muhamad pada Persidangan Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Kelantan Ke-15, hari ini.

Katanya, kerajaan negeri turut memberi perhatian kepada enam pendekatan promosi bagi menarik lebih ramai pelancong Indonesia ke Kelantan.

Antaranya termasuk mengetengahkan destinasi pelancongan menarik, keunikan makanan, budaya dan kraftangan warisan serta kemudahan perubatan yang ditawarkan pada kos 20 hingga 25 peratus lebih rendah berbanding Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Melaka.

Selain itu, promosi pelancongan turut merangkumi konsep dua destinasi iaitu Kelantan dan Selatan Thailand bagi membolehkan pengunjung meneroka kedua-dua kawasan dalam satu perjalanan.

“Kalau datang ke Kelantan, mereka juga boleh pergi ke Selatan Thailand. Jadi, promosi kita dua dalam satu, datang Kota Bharu, Kelantan, boleh terus sahaja ke Selatan Thailand untuk melawat di Selatan Thailand.

“Seterusnya menggalakkan semangat rumpun Melayu. Kalau pergi ke Selatan Thailand itu tujuan untuk mengadakan hubungan dengan masyarakat Melayu di sana,” katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri berharap perkembangan laluan penerbangan langsung itu dapat membantu memperluas pasaran pelancongan Kelantan, khususnya dalam kalangan masyarakat Indonesia.

Dato’ Kamarudin turut merakamkan penghargaan kepada AirAsia yang mengambil inisiatif menyediakan penerbangan terus Kota Bharu-Jakarta serta Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) atas kemudahan lapangan terbang yang disediakan.

“Hasrat kita ialah pada satu masa nanti ‘all roads in Kelantan will lead to Kota Bharu’. Bukan sahaja Kelantan, ‘all roads in Malaysia will lead to Kota Bharu’. Insya-Allah,” ujarnya.

Pautan berjaya disalin!